Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM sahkan tiada unsur jenayah dalam urusan 1BestariNet
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 4:29 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

SPRM mengesahkan tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata pihaknya menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bahawa tiada mana-mana pihak yang akan dituduh dalam pelaksanaan tender projek ini.

Katanya keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan siasatan SPRM yang dijalankan sejak September lalu.

"Keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan siasatan SPRM yang dijalankan sejak September lalu, yang mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender tersebut.

“Sebagai langkah susulan, siasatan telah dijalankan Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, yang memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM,” menurut kenyataan itu.

Semalam, YTL Communications berkata SPRM telah membersihkan syarikat itu daripada dakwaan salah laku dalam projek 1BestariNet.

"Kami ingin mengumumkan bahawa kami telah menerima pengesahan daripada SPRM bahawa ia telah memuktamadkan siasatannya dan menentukan bahawa tiada pertuduhan akan diteruskan terhadap YTL Comms," kata YTL Power International Bhd dalam satu kenyataan.

Pada September lalu, SPRM telah merampas dokumen daripada YTL Comms dan Kementerian Pendidikan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembayaran RM2.7 bilion yang dibuat untuk tuntutan palsu.

Projek 1BestariNet bernilai RM4.47 bilion adalah inisiatif era Najib Razak yang dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011 melalui tender terbuka untuk melengkapkan sekolah dengan perkhidmatan jalur lebar dan untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah maya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin adalah menteri pendidikan ketika itu.

Sementara itu SPRM berkata, TPR telah mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil dapatan siasatan kepada KPM berserta syor-syor penambahbaikan.

Antara syor yang dikemukakan ialah KPM kembali ke meja perundingan bersama YTL Communications Sdn Bhd untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan yang telah dipersetujui.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS