Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPM bersyukur Rosmah dilepas, dibebaskan mahkamah

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, meminta semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Rosmah Mansor hari ini.

Berharap tidak ada pihak mempertikaikan keputusan berkenaan, Ahmad Zahid juga menyatakan rasa gembira dengan keputusan melibatkan isteri Najib Razak berkenaan.

"Saya ingin mengucapkan syukur saya terhadap (keputusan) Datin Seri Rosmah yang telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram dan pertuduhan tidak mengisytiharkan harta.

"Apabila dilepaskan dan dibebaskan, ertinya kita harus menghormati keputusan institusi kehakiman.

"Saya harap tidak ada pihak mempertikaikan mengenai keputusan mahkamah ini," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi, dekat Bentong, Pahang, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi yang melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan dikenakan.

Rosmah, 73, memfailkan permohonan membatalkan tuduhan itu pada Sept 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Dis tahun lalu, selepas sebahagian kes didengar dengan keterangan daripada dua saksi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Tertuduh didakwa gagal melakukannya seperti mana diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS