Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
100 kumpulan bantahan rancangan pelesenan benih tanaman
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 2:06 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Satu gabungan terdiri daripada 106 organisasi petani dan kumpulan masyarakat sivil hari ini mendesak kerajaan untuk menghentikan rancangan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman di Parlimen.  

Dikenali sebagai Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), gabungan tersebut mendakwa tiada konsultasi telus dan menyeluruh mengenai RUU yang dicadangkan sejak 2019 itu, yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan.  

“Kami menggesa kerajaan untuk memberhentikan proses pembentangan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman di Parlimen.  

“Ini berikutan ketiadaan proses konsultasi yang telus dan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, khususnya petani-petani kecil dan sederhana serta organisasi-organisasi bukan kerajaan yang berkaitan pertanian dan alam sekitar,” kata koordinator FKMM Nur Fitri Amir Muhammad.

Dia berkata demikian dalam sidang media di Petaling Jaya, pagi ini.

Salah satu isu utama yang dibangkitkan adalah keperluan lesen untuk menyimpan, memproses, dan mengedar benih, yang dianggap melanggar hak tradisional petani untuk berkongsi dan menyimpan benih.  

“Amalan tradisi petani kecil menyimpan, berkongsi, dan menjual benih secara kecil-kecilan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan adalah sangat penting untuk kepelbagaian agrobiodiversiti dan sara diri petani tersebut,” tambah FKMM.  

Nur Fitri juga menekankan ketidakjelasan mengenai aspek penguatkuasaan dan hukuman di bawah RUU tersebut. 

Pada konsultasi pertama pada 2019, dinyatakan denda antara RM100,000 hingga RM200,000 dan penjara sehingga tiga tahun akan dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan lesen.  

“Kami kekal tidak pasti mengenai prosesnya, justeru kami meminta agar konsultasi yang lebih telus diadakan,” katanya.  

FKMM turut membangkitkan kebimbangan lain termasuk:  

  • Peningkatan kos kepada petani kecil untuk lesen dan ujian makmal.  

  • Monopoli syarikat besar terhadap industri benih.  

  • Kesan negatif kepada agrobiodiversiti apabila benih komersial lebih diutamakan.  

Oleh itu, FKMM mendesak kerajaan untuk mengadakan sesi konsultasi yang lebih menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS