Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Koruptor No 1 Sabah’ - Fahmi Reza disiasat berhubung lukisan Musa Aman
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 1:39 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Aktivis seni grafik Fahmi Reza mengkritik kerajaan pimpinan Pakatan Harapan kerana gagal menunaikan janji untuk memansuhkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia tetapi sebaliknya didakwa memperkukuhkan klausa tersebut.

Dalam kenyataan kepada media selepas memberi keterangan kepada pihak polis, katanya, dirinya disiasat bawah tiga undang-undang susulan satu grafik yang memaparkan Musa Aman, yang baru-baru ini dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, sebagai “koruptor nombor satu” negeri itu.

Fahmi memaklumkan bahawa siasatan dijalankan selepas laporan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Selain Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia, katanya kes tersebut juga melibatkan Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Semasa pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia dalam perbahasan (di parlimen), menteri kata, satira dan parodi dibenarkan.

“Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang sebelum masuk parti politik, masuk DAP, jadi ahli parlimen, dia peguam untuk kes aku, dia keluar kenyataan satira dan parodi dibenarkan

tidak lagi jadi jenayah

“Tetapi apa cerita sekarang, (aku) kena siasat. Apa jadi? Saya disiasat kerana satira. Kepada Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, apa cerita?

“Bolehkah kita percaya kepada pemerintah ini?” soalnya.

Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 Disember dan Dewan Negara pada 16 Disember lalu. Namun, pindaan tersebut masih belum mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong atau diberikan tarikh penguatkuasaan.

Menurut pindaan itu, satira dan parodi sepatutnya dilindungi. Namun, klausa baru juga memperuntukkan hukuman untuk komunikasi yang “sangat menyinggung perasaan” – satu definisi yang dianggap kabur dan terbuka kepada pelbagai tafsiran.

“Sebelum dapat kuasa (janji) nak mansuh Seksyen 233 tapi sekarang nak perketatkan lagi,” katanya.

Musa Aman, yang akan memulakan tugas sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1 Januari ini, pernah dikaitkan dengan pelbagai tuduhan rasuah. Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga pernah menyuarakan rasa kecewanya apabila tuduhan rasuah terhadap Musa ditarik balik.

Kes ini sekali lagi membuka perdebatan mengenai kebebasan bersuara dan janji-janji reformasi kerajaan. Adakah pindaan undang-undang benar-benar melindungi hak rakyat, atau sekadar kosmetik politik?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS