Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa seni harus bergerak bebas, termasuk yang bersifat kritikal terhadap kekuasaan, dalam usaha membangun bangsa yang maju.
“Justeru, dewasa ini seni seharusnya bergerak dengan bebas dan disemarakkan, termasuk yang bersifat kritikal terhadap kekuasaan dan dalam apa jua bentuk,” katanya.
Dia berkata demikian dalam catatan di media sosial selepas menghadiri malam kesenian Manifestasi Tiga Seni anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur malam tadi.
Acara itu mengetengahkan pelbagai cabang seni seperti puisi, seni lukis dan muzik.
Ia diadakan sebagai kesinambungan kepada program yang dimulakan pada lewat 1970-an untuk menyatukan masyarakat selepas tragedi 13 Mei.
Namun, kenyataan Anwar itu hadir sehari selepas pereka grafik Fahmi Reza dipanggil ke Bukit Aman berhubung poster satira politik yang dimuat naik di media sosial.
Fahmi disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Poster tersebut memaparkan Yang di-Pertua Sabah Musa Aman menggigit wang RM100, bersama teks “Koruptor nombor 1 Sabah”.
Sementara itu, Anwar turut hadir ke acara DBP itu bersama cucu-cucunya, yang menarik perhatian hadirin dengan keakraban mereka.
Sementara itu, perdana menteri juga memuji usaha DBP dan produksi kerana menjayakan acara tersebut, yang turut menampilkan deklamasi puisi oleh sasterawan, penyair, dan pendiri seni tanah air.
Persembahan muzik malam itu dimeriahkan pelbagai pihak termasuk legenda rock tanah air ,Ramli Sarip.
“Semangat negara Madani menggalakkan nilai daya cipta dan kreativiti, dan kita sebagai masyarakat harus menghayati dan meraikannya agar negara ini berjaya dan melonjak,” tambah Anwar.