Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan pemohonan maaf daripada penaja Lee Zii Jia, Victor, berhubung Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain itu sudah memadai dan enggan memanjangkan isu berkenaan.
Yeoh jua yakin bahawa Zii Jia tidak berniat untuk menghina negara, namun menggesa pengurus dan atlet lain agar mengambil serius isu itu bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.
“Buat masa sekarang, isu Zii Jia - seperti yang saya katakan - permohonan maaf telah dikeluarkan oleh Victor. Saya belum semak (jika Zii Jia dan pasukannya telah mengeluarkan permohonan maaf) sejak kejadian itu dan bagi saya, buat masa ini ia telah memadai.
“Majlis Sukan Negara (MSN) ditugaskan untuk menyiasat perkara ini dan menyediakan draf untuk saya lihat dan kami akan maklumkan (mengenai garis panduan bagi memastikan isu seumpama itu tidak berulang),” katanya selepas sidang media Dana Sukan Kementerian Belia dan Sukan 2025 di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Yeoh juga mendedahkan bahawa pasukan LZJ (Team LZJ) sedang menantikan pertemuan dengannya berhubung program Road to Gold (RTG) yang dijadual diadakan pada Jan depan.
Zii Jia menjadi tumpuan kontroversi apabila memakai jersi dengan bendera Malaysia dijahit terbalik ketika beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia di Hangzhou, China baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai pertemuan dengan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, Yeoh berkata ia mungkin diadakan tahun depan memandangkan semua orang sedang berehat menjelang akhir tahun.
Sebelum ini, MSN memberi tempoh hingga 31 Dis kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk mengesahkan penyertaan Mohd Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan.
- Bernama