Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pedih dengar Sitti Bandorah kata saya benci PDRM'
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 12:37 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi merayu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Sabah tidak merobohkan kediaman keluarga allahyarham Sarjan Abdul Azis Sarikon, wira negara yang terkorban dalam serangan puak Sulu di Sabah.

Kata Mohd Puad, dia pedih mendengar balu allahyarham, Sitti Bandorah Mahalil berkata “saya benci PDRM” ketika kehadiran polis untuk merobohkan kediaman mereka.

"Saya merayu kepada KDN dan juga kerajaan Sabah carilah jalan supaya rumah isteri allahyarham Sarjan Abd Aziz Sarikon tidak dirobohkan. 

Puad Zarkashi

"Dia korban pencerobohan tentera Kiram di Kampung Simunul, Semporna Sabah. Allahyarham Abd Azis asal Rengit Batu Pahat. Sebagai ADUN Rengit saya harap jasa allahyarham dikenangi.

"Jangan habis madu sepah dibuang.Tidak patut rumah isteri allahyarham, iaitu Sitti Bandorah asal Semporna mahu dirobohkan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Abd Azis adalah antara mereka yang pernah menyarung seragam itu dan meninggal dunia ketika mempertahankan tanah air pada 2013 daripada pencerobohan penceroboh Sulu.

Allahyarham Sarjan Abd Azis Sarikon

Dia antara enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap oleh pengganas bersenjata di Kampung Simunul, Semporna.

Namun, selepas 11 tahun berlalu, Sitti Bandorah, dan anak-anak mereka hari ini pula menjadi mangsa pencerobohan — kali ini oleh pihak berkuasa negeri yang pernah diperjuangkan oleh wira itu.

Rumah mereka di Kampung Alab, sebuah perkampungan air di Pulau Bodgaya, Semporna, menjadi antara kawasan yang disasarkan untuk dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Menurut Sitti, anggota dari pelbagai agensi, termasuk polis dan Taman Sabah, datang ke kampung mereka semalam dan mengarahkan penduduk supaya mengosongkan rumah masing-masing.

Bandorah Mahalil

"Kita menang saman Raja Kiram di Mahkamah Belanda. RM62.5 bilion diselamatkan tetapi rumah keluarga perajurit negara tidak diselamatkan.

"Arwah Abd Azis bekas anggota polis. Pedih bila mendengar Sitti Bandorah berkata, 'saya benci PDRM' kerana anggota PDRM hadir bersama untuk  merobohkan rumahnya," kata Mohd Puad lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS