Kepimpinan PKR Sabah menyeru rakyat negeri itu menyokong pelantikan yang di-pertua baru Musa Aman.
Timbalan pengerusi PKR Sabah, Peto Galim berkata bekas ketua menteri negeri itu melalui proses yang betul dan wajar diberikan peluang.
"Pada saya lantikan telah dibuat dan melalui proses yang tepat. Tun (Musa) juga seorang yang layak dilantik.
“Maka rakyat harus berjiwa besar dan menerima pelantikan ini dengan baik dan beri dia peluang untuk menunjukkan bahawa Tun dapat menjalankan tugas dengan baik," kata Peto.
Mengulas mengenai pilihan raya negeri Sabah, Peto berkata Pakatan Harapan masih belum memutuskan sama ada untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti.
Dia juga menyatakan bahawa pembahagian kerusi dalaman sudah 75 peratus selesai, namun dijangka akan berlaku sedikit kelewatan sebelum perinciannya dimuktamadkan.
"Ini disebabkan oleh musim perayaan dan akhir tahun,” katanya merujuk kepada Hari Krismas minggu depan dan tahun baru pada minggu berikutnya.