Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan main-main dengan keadilan'
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 11:43 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Rosmah Mansor hari ini menyambut keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskannya daripada 17 pertuduhan - termasuk pengubahan wang haram sebanyak RM7 juta - dengan rasa amat syukur.

Kata isteri Najib Razak itu, peguamnya sudah memberitahu dengan yakin sejak awal bahawa pertuduhan tersebut - yang bermula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Okt 2018 - sebagai tidak mempunyai asas.

Kes itu kemudian dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Kata Rosmah walaupun mendapat jaminan sebegitu daripada peguam, dia tidak begitu pasti mengenainya sehinggalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan hari ini.

"Saya telah mendapat keadilan. Terima kasih kepada hakim yang membuat keputusan yang tepat.

"Ini yang dikatakan sebagai keadilan dan semua orang patut mendapat keadilan itu. Jangan main-main dengan keadilan," katanya seperti dilaporkan BH Online.

Terdahulu isteri berkas perdana menteri itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta, dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan itu dibacakan hakim, K Muniandy.

Sebelum ini pihak pembelaan berhujah prosedur yang berjalan adalah tidak adil sehingga menjejaskan kualiti hidupnya.

Pihak pendakwaan pula memberitahu semua tuduhan yang dibuat adalah sah mengikut undang-undang dan mengandungi maklumat yang mencukupi untuk memaklumkan Rosmah mengenai kesalahan yang didakwa.

Justeru, kata pihak pendakwaan, Rosmah boleh menyediakan pembelaan yang sewajarnya.

Untuk rekod pada 23 Ogos lalu peguam Rosmah, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut.

BH Online melaporkan Ahmad Akram Gharib sebagai timbalan pendakwa raya bersetuju dengan kenyataan tersebut namun menyatakan proses dokumentasi perlu diselesaikan sebelum perintah mahkamah diteruskan.

Rosmah mengemukakan tiga surat representasi pada 13 Dis 2023 untuk memohon agar pertuduhan tersebut digugurkan.

Kata Rosmah, 73, hari ini, dia akan memaklumkan berita gembira tersebut kepada Najib dan menganggapnya sebagai keadilan yang dinanti sekian lama.

"Pembebasan pada hari lahir, bukan sahaja hadiah bermakna buat saya, malah hadiah untuk 'Bossku' (Najib).

"Saya akan maklumkan berita gembira ini kepada Datuk Seri (Najib). Inilah keadilan yang kita nantikan," katanya yang lahir pada 10 Dis 1951.

Sementara itu Ahmad Akram yang ditemui wartawan memberitahu, pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS