Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan dan melepaskan Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta, dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K Muniandy mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan isteri Najib Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya.
Permohonan tersebut dibuat atas alasan ia tanpa asas dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut pada Sept 2023, manakala perbicaraan dimulakan pada 12 Dis tahun lalu selepas sebahagian daripada kes tersebut didengar dengan keterangan daripada dua saksi.
Kes lain
Sementara itu, Rosmah juga mempunyai rayuan yang masih tertangguh terhadap sabitannya dalam kes rasuah projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion di Mahkamah Rayuan.
Rosmah turut memfailkan rayuan untuk meminta hakim perbicaraan, Zaini Mazlan, menarik diri daripada mendengar kes tersebut, dengan mendakwa bahawa terdapat pihak ketiga menyediakan draf penghakiman untuknya.
Mahkamah Rayuan akan mendengar perkara berkaitan hakim itu pada 5 Mac tahun depan. Jika permohonan itu tidak diluluskan, mahkamah akan meneliti merit rayuan dan hukuman Rosmah pada 19 Mac.
Pada 1 September 2022, Zaini, yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan, mensabitkan Rosmah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan.
Hakim itu, yang memerintahkan hukuman dijalankan serentak, turut mengenakan denda sebanyak RM970 juta terhadapnya.
Mesti ada transaksi
Sementara itu laporan Bernama menyatakan, dalam penghakimannya Muniandy berkata, pertuduhan terhadap Rosmah gagal untuk menyatakan bahawa dia terlibat secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil haram, serta tidak memperincikan sifat transaksi tersebut atau bagaimana Rosmah terlibat secara langsung.
“Pertuduhan tersebut tidak mendedahkan elemen utama kesalahan pengubahan wang haram, termasuk transaksi berkaitan pengubahan wang haram, tingkah laku tertuduh, dan wang yang dirujuk dalam pertuduhan.
"Selain itu, pertuduhan tersebut juga tidak menunjukkan transaksi seperti yang dimaksudkan di bawah Akta 613, iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).
“Kegiatan haram yang dikaitkan dengan pertuduhan itu juga tidak dinyatakan, tetapi hasil daripada kegiatan haram tersebut muncul entah dari mana,” katanya.
Hakim menambah, tanpa elemen-elemen tersebut pertuduhan hanya menggambarkan perbuatan mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun bank, yang pada dasarnya bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Sebahagian daripada pertuduhan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 ada pertindihan kerana tarikh dan jumlah yang dinyatakan adalah sama, tetapi kesalahan yang didakwa dilakukan oleh tertuduh tetap berkaitan pengubahan wang haram, yang mana ia mesti berpunca daripada kegiatan haram boleh dikaitkan dengan pengubahan wang haram tersebut.
Menurut Muniandy walaupun ada pendapatan yang tidak didedahkan kepada LHDN, mesti ada transaksi yang menunjukkan penglibatan tertuduh dengan pendapatan yang tidak didedahkan tersebut untuk diklasifikasikan sebagai pengubahan wang haram.
“Kegagalan mengemukakan borang cukai pendapatan tertakluk di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP).
"Kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 112 ACP hanya boleh dikenakan sekiranya semua saluran yang tersedia di bawah ACP telah digunakan, namun perkara itu tidak dilakukan dalam kes ini.
“Ini termasuk penilaian cukai pendapatan yang mesti dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Cukai Pendapatan, diikuti dengan proses rayuan yang tersedia kepada pembayar cukai di bawah Seksyen 99 hingga 102 ACP atau Bahagian VI ACP,” katanya.
Hakim turut menegaskan bahawa penentuan akhir terhadap jumlah cukai yang perlu dibayar akan dibuat oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, dan selepas keputusan itu, pembayar cukai mempunyai pilihan untuk memohon semakan kehakiman.
Dalam kesimpulan penghakimannya, Muniandy menyatakan bahawa berdasarkan penemuan mahkamah, beliau meluluskan permohonan tertuduh untuk membatalkan pertuduhan.
“Perintah seperti dalam permohonan diluluskan dan kesemua 17 pertuduhan terhadap tertuduh dibatalkan. Mahkamah ini juga membebaskan dan melepaskan tertuduh daripada kesemua 17 pertuduhan tersebut,” katanya.