Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjawat awam kongsi rasa syukur sempena gaji pertama SSPA
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 9:48 AM
Dikemaskini: 1:48 AM

Penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) hari ini menerima kenaikan gaji pertama selepas pelarasan di bawah skim tersebut.

Sebahagian daripada mereka meluahkan rasa gembira dan menzahirkan kesyukuran, selain berterima kasih kepada kerajaan Madani atas pelaksanaan pelarasan gaji itu yang dilakukan selepas 12 tahun tanpa semakan.

Desmi Hartati Anuar menyifatkan pelarasan gaji tersebut sebagai rezeki buat anak pertamanya setelah hampir 15 tahun menanti untuk bergelar ibu.

"Anak saya lahir pada 19 Ogos lalu dan hari ini usianya genap empat bulan. Suami saya juga seorang penjawat awam, dan kami berharap dapat menambah simpanan pendidikan anak kami," katanya ketika dihubungi Bernama.

Guru berusia 42 tahun itu turut berharap kenaikan gaji tersebut dapat meringankan beban kewangan bulanan keluarganya, terutama selepas pembelian rumah baru-baru ini.

Bagi Netty Muhalizza Mohd Fadzil pula, pelarasan gaji itu dianggap tepat pada masanya lebih-lebih lagi untuk penjawat awam yang mempunyai anak yang sedang bersekolah.

"Minggu depan cuti sekolah bermula, jadi ramai ibu bapa yang mungkin perlu membuat persediaan untuk sesi persekolahan baru Jan nanti. Selain itu, pasti ada juga yang hendak merancang persiapan hari raya," kata kakitangan di sebuah universiti awam itu.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Farmasi Kerajaan Semenanjung Malaysia menerusi hantaran di laman Facebook menyatakan bahawa pelarasan gaji ini diharapkan mampu mengurangkan beban kewangan serta memastikan kelangsungan hidup penjawat awam dalam era yang semakin mencabar.

"Dengan kenaikan ini, diharap kita semua tidak meningkatkan gaya hidup, sebaliknya mengurangkan komitmen sedia ada dan berbelanja secara berhemah.

"Lebihan gaji boleh digunakan untuk menggembirakan ahli keluarga," kata kesatuan itu.

Penjawat awam turut berkongsi rasa teruja mereka menerima kadar gaji baru melalui pelbagai hantaran di media sosial.

"Selamat pagi gaji SSPA. Ada manis," kata Hilary Brody pada laman Facebooknya.

"Alhamdulillah... terima kasih kerajaan Madani. Selain penjawat awam naik gaji, orang pencen pun naik juga kadar pencennya," kata Zairi Suboh juga dalam laman Facebooknya.

Melalui SSPA, pegawai kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan dan profesional yang memilih skim berkenaan akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa.

Fasa pertama sebanyak lapan peratus dilaksanakan pada Dis ini, manakala baki tujuh peratus lagi dalam fasa kedua pada Jan 2026.

Sementara itu, bagi kumpulan pengurusan tTertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi fasa pertama, dan tiga peratus bagi fasa kedua,

SSPA diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS