Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN SUKAN | Benarkah status selaku pemain profesional dalam badminton tidak memberi jaminan masa depan yang cerah?

Pengkritik dan pemerhati masih beranggapan adalah lebih baik pemain negara bernaung di bawah payung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana ia nampak lebih selamat berbanding mengambil risiko membawa haluan sendiri.

Naratif seperti itu boleh menakutkan pemain. Tapi bagi segelintir pemain profesional - terutamanya yang senior atau yang berusia 25 tahun ke atas - mereka melihat dari sudut berbeza. Tambahan pula jika ada jaminan daripada pihak penaja. Kenapa pula harus dilepaskan peluang itu.

Tetapi bagaimana pula senario jika ‘kumpulan itu’ berjaya?

Rasanya persoalan seperti ini sudah terjawab. Lihat sahaja kelibat dua pasangan beregu profesional negara - Nur Izzudin Ramsani-Goh Sze Fei (beregu lelaki) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran).

Statistik tidak menipu kerana mereka adalah sebilangan kecil pemain negara yang paling menyerlah musim ini dengan perolehan pendapatan agak lumayan hasil kemenangan masing-masing.

Kedua-dua pasangan terbabit juga menjelmakan aksi luar jangkaan apabila masing-masing layak ke final dan separuh akhir di Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Hangzhou, China, pada Ahad lalu.

Izzuddin-Sze Fei mendapat habuan AS$100,000 (RM445,000) selaku naib juara manakala Soon Huat-Shevon mengutip kira-kira AS$50,000 (RM222,000) atas kejayaan mara ke kelompok empat terakhir.

Cetus persaingan sihat

Tambah manis, jumlah keseluruhan hadiah wang dituai oleh Izzuddin-Sze Fei musim ini ialah sekitar RM1.7 juta, termasuk hasil menjuarai Terbuka China bernilai AS$148,000 (RM658,000) yang menjadi hadiah terbesar mereka setakat ini.

Pencapaian itu turut melonjakkan status mereka selaku pasangan ranking ketiga dunia buat pertama kali, sekali gus mengatasi rakan senior negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang jatuh satu anak tangga ke nombor enam ketika ini.

Mereka juga sudah merampas tempat selaku pasangan pasangan nombor satu negara, dan ini adalah kali pertama Aaron-Wooi Yik tercicir status mereka sejak 2019.

Jadi, ini satu perubahan yang juga bererti suatu kemajuan dalam sukan badminton negara. Ia juga bakal mencetuskan saingan sengit sesama mereka untuk merampas takhta teratas dalam ranking dunia beregu lelaki.

Apa pun, penulis tertarik dengan kata-kata yang terbit dari mulut Shevon. Wanita berasal dari Selangor itu berpendapat pasangan itu perlu sentiasa mencari ilham untuk menang wang besar bagi kelangsungan mereka.

Tiada ihsan daripada sesiapa dalam situasi ini kecuali mereka perlu membantu diri sendiri.

Kata-kata ikhlas oleh Shevon harus menyuntik inspirasi kepada rakan senegara lain, khasnya pemain remaja negara kerana tiada apa yang mustahil dicapai jika ada usaha gigih dan sentiasa memiliki keyakinan diri.

Selain menyerlah di kejohanan penamat musim di Hangzhou, Soon Huat-Shevon juga membuat kejutan apabila muncul sebagai naib juara di kejohanan Terbuka China pada Sept lalu dengan membawa pulang imbuhan AS$70,000 (RM294,360).

Perolehan pasangan suami-isteri berkenaan dipercayai sudah mendekati angka RM1 juta bagi tahun ini.

Rapatkan jurang junior-senior

Saingan sesama beregu campuran negara juga dijangka rancak ketika wakil BAM, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menyinar sejak kebelakangan ini, khasnya apabila gah mara ke final Pusingan Akhir Jelajah Dunia di Hangzhou, baru-baru ini.

Mereka mendapat pujian ramai walaupun tewas kepada juara Olimpik dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, dan terpaksa berpuas hati dengan meraih AS$100,000 (RM445,000).

Pasangan keenam dunia itu dianggap pertaruhan terbaik Malaysia bagi buruan pingat di Sukan Olimpik di Los Angeles pada 2028 nanti.

Kita belum pasti sama ada Soon Huat-Shevon dapat bertahan sehingga tempoh itu. Namun, sumbangan pasangan berusia 35 dan 31 tahun berkenaan setakat ini sudahpun dinilai cukup mengagumkan.

Tahniah!

Prestasi terpuji dan pungutan hadiah wang besar diperoleh pemain negara kali ini harus menyuntik semangat baru menjelang 2025.

Harap-harap pemain negara yang lain - khasnya barisan pemain remaja - akan turut bersaing dan mula menghambat pemain senior untuk merapatkan jurang dan memecah masuk ke dalam saingan elit di pentas dunia dengan pantas.

Seorang lagi pemain profesional negara, Lee Zii Jia, juga makin garang, tetapi di Hangzhou dia ditimpa malang yang tidak dijangka apabila terlepas peluang ke separuh akhir gara-gara kecederaan ligamen buku lali kanan.

Insiden itu berlaku ketika pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu menentang pemain tuan rumah, Li Shi Feng, dalam saingan terakhir peringkat kumpulan perseorangan lelaki pada 13 Dis lalu.

Kedua-dua kumpulan penting

Insiden malang itu memaksa Zii Jia menarik diri walaupun sudah menang pada set pertama dan mendahului pada set kedua.

Apa pun, segala-galanya kini menjurus kepada satu petanda positif bahawa barisan pemain negara kita semakin meningkat pencapaian masing-masing di pentas dunia.

Kecuali dalam perseorangan wanita apabila kita masih buntu mencari jawapan, pemain dalam empat kategori lain sudah menyerlahkan kemampuan sebenar mereka.

Ringkasnya, mereka sudah tidak takut lagi dengan kelibat jaguh dunia terutama dari China, Korea Selatan, Jepun atau Indonesia. Jurang sudah dapat dirapatkan dengan baik.

Dalam konteks ini, kita juga boleh mendengar pandangan bekas bintang perseorangan negara, Rashid Sidek, yang berpendapat betapa skuad badminton Malaysia mampu menjuarai Piala Sudirman di Xiamen, China pada April tahun depan.

Pada firasatnya, skuad negara mampu memiliki kekuatan hampir menyeluruh dengan bekalan pemain berkualiti, sama ada acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita atau beregu campuran yang kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Bermula hari ini, segala pujian yang diberikan kepada pemain badminton negara harus dibalas dengan kejayaan lebih besar demi negara. Tidak perlu ada sifat bermusuhan sama ada mereka 'geng' dalam BAM atau pun luar.

Gabungan kedua-dua kumpulan ini sama penting.

Bagi pemain profesional yang menyinar, tabik diberikan buat mereka kerana tiada pilihan kecuali perlu mencari duit untuk mengisi perut dan menggapai impian besar bergelar sang juara. Perkembangan ketika ini cukup menceriakan kita.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS