Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Konsortium diteraju Berjaya Corporation Bhd, yang menyertai Proses Permintaan Maklumat (RFI) oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) mengumumkan satu daripada rakan kongsinya telah membuat keputusan untuk menarik diri.

Berjaya dalam kenyataan hari ini berkata Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) telah menarik diri dan akan meneruskan peluang strategik lain sekali gus tidak lagi menjadi sebahagian daripada konsortium KL-SG HSR.

“Konsortium ini, termasuk Berjaya Rail Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd, IJM Corporation Bhd dan rakan teknikal seperti Deutsche Bahn, Hitachi Rail dan Hyundai Rotem akan diperkukuhkan lagi untuk lebih sejajar dengan keperluan projek yang semakin berkembang dan memenuhi harapan kerajaan,” katanya.

Konsortium berkenaan dan rakan teknikalnya adalah peneraju yang diiktiraf dalam pembangunan infrastruktur, kejuruteraan dan pengurusan pengangkutan, dengan kepakaran yang terbukti selama beberapa dekad dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar.

Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata kumpulan itu kekal komited dalam misi melaksanakan sistem HSR bertaraf dunia, menyasarkan untuk mentransformasikan kesalinghubungan serantau dan pembangunan ekonomi di Malaysia.

Menurutnya, selain itu ia berhasrat menyumbang kepada peralihan negara ke arah mobiliti hijau menerusi kereta api berkelajuan tinggi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS