Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
YTL: SPRM sahkan tiada pertuduhan terhadap syarikat kami
Diterbitkan:  Dec 18, 2024 9:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

YTL Communications berkata SPRM telah membersihkan syarikat itu daripada dakwaan salah laku dalam projek 1BestariNet.

"Kami ingin mengumumkan bahawa kami telah menerima pengesahan daripada SPRM bahawa ia telah memuktamadkan siasatannya dan menentukan bahawa tiada pertuduhan akan diteruskan terhadap YTL Comms," kata YTL Power International Bhd dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM sedang menyiasat dakwaan pembayaran RM2.7 bilion dibuat untuk tuntutan palsu, dan telah merampas dokumen daripada YTL Comms dan Kementerian Pendidikan pada September untuk membantu siasatan.

Projek 1BestariNet bernilai RM4.47 bilion adalah inisiatif era Najib yang dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011 melalui tender terbuka untuk melengkapkan sekolah dengan perkhidmatan jalur lebar dan untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah maya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin adalah menteri pendidikan ketika itu.

Projek itu dijangka siap dalam tempoh 15 tahun melalui tiga fasa.

Namun, ia dibelenggu dengan isu yang terdiri daripada aduan tentang ketersambungan yang perlahan dan isu berkaitan kewangan.

Nur Jazlan Mohamed, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2015, menyifatkan fasa pertama projek itu sebagai "kegagalan" memandangkan pelaksanaannya yang lemah.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2018 juga berkata program itu kurang daripada indeks prestasi utamanya, dan Kementerian Pendidikan gagal mempertimbangkan cadangan Makmal Pengurusan Nilai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS