Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bunuh, rompak semata-mata mahu tengok bola di Kemboja
Diterbitkan:  Dec 18, 2024 6:26 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Seorang lelaki mengaku membunuh dan merompak semata-mata untuk menampung perbelanjaan menyaksikan Harimau Malaya beraksi dalam Piala Asean di Kemboja, 8 Dis lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata setelah suspek 23 tahun membuat pengakuan itu, susulan penemuan mayat mangsa yang reput di Tabuan Jaya, Kuching, Ahad lalu.

Katanya, suspek mengaku mengambil gelang tangan emas dan anting-anting emas mangsa untuk digadai, laport RTM.

“Selepas polis berjaya menahannya dan melakukan siasatan, suspek membuat pengakuan memang dia yang membunuh mangsa.

“Dan berdasarkan bukti diperoleh, polis percaya kes itu hampir selesai,” kata Mancha di Kuching.

Katanya, suspek juga menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita itu.

Dia juga berkata polis menemui beberapa bahan bukti baru antaranya pakaian, gigi dan gumpalan rambut ketika pemeriksaan susulan di lokasi mayat mangsa, iaitu longkang dekat tempat pembuangan sampah di Tabuan Jaya.

Polis memerlukan sekurang-kurangnya lima hari bagi mengesahkan DNA mangsa.

Kehilangan Nurul Asikin Lan, 26, dilaporkan kepada polis pada 5 Disember lalu. 

Dia tidak dapat dikesan setelah keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali.

Dalam perlawanan sulung Malaysia dalam Piala Asean itu, Malaysia bergelut melawan Kemboja yang rankingnya jauh lebih rendah. 

Harimau Malaya, yang tidak turun dengan skuad terbaik, hanya mampu seri 2-2 dalam perlawanan hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

Kedua-dua pasukan masih mempunyai baki satu perlawanan dan sama-sama berpeluang melangkah ke peringkat separuh akhir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS