Presiden DAP Lim Guan Eng memfailkan rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar ganti rugi RM1.35 juta kepadanya kerana memfitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Menerusi notis rayuan yang difailkan melalui Tetuan Guok Partnership pada 29 Nov lepas, Lim tidak berpuas hati apabila tiada perintah mengenai kadar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah pampasan dalam keputusan Hakim Roz Mawar Rozain.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata beliau sepatutnya diberikan faedah tersebut oleh Mahkamah Tinggi dan dikira dari tarikh pemfailan tindakan saman iaitu pada 27 Mac 2023 sehingga tarikh bayaran penuh.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Feb tahun depan untuk pengurusan kes itu.
Pada 8 Nov lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ahli Parlimen Pagoh itu membayar RM1.35 juta sebagai ganti rugi kerana memfitnah Lim.
Roz Mawar membuat keputusan itu selepas mendapati Lim berjaya membuktikan kesnya dan turut memerintahkan Muhyiddin membayar kos RM50,000 kepada ahli politik berkenaan.
Ahli Parlimen Bagan itu memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung tiga kenyataan berunsur fitnah di laman Facebook yang melibatkan beliau dalam isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Lim turut mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasa beliau dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri mengenakan cukai serta penalti terhadap yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.
Pada 16 Dis lepas, Roz Mawar memberikan penangguhan bersyarat kepada Muhyiddin berhubung pembayaran ganti rugi itu dan memerintahkan beliau membayar RM400,000 pada 31 Dis ini serta baki RM1.02 juta pada 27 Jan 2025.
- Bernama