Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS hantar pulang dua tahanan Malaysia dari Guantanamo

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penghantaran pulang dua rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep yang ditahan di Kem tahanan Teluk Guantanamo kepada kerajaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sesawangnya pada Rabu, Jabatan Pertahanan AS memaklumkan bahawa kedua-dua lelaki itu mengaku bersalah di hadapan Suruhanjaya Tentera atas beberapa kesalahan termasuk pembunuhan yang melanggar undang-undang perang, menyebabkan kecederaan parah secara sengaja, konspirasi dan kemusnahan harta benda.

“Berdasarkan perjanjian pra-perbicaraan antara AS dan kedua-dua lelaki itu, masing-masing telah bekerjasama dengan kerajaan AS dan memberi keterangan yang boleh digunakan terhadap suspek utama Encep Nurjaman, yang dikaitkan dengan serangan al-Qaeda ke atas sebuah kelab malam di Bali, Indonesia pada 2002 dan serangan ke atas Hotel JW Marriott di Jakarta, Indonesia pada 2003,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Pertahanan AS memaklumkan bahawa kedua-dua lelaki itu dijatuhi hukuman penjara selama kira-kira lima tahun, seperti yang diluluskan pada 13 Jun 2024 berdasarkan perjanjian pra-perbicaraan.

Mereka disyorkan supaya dihantar pulang ke Malaysia untuk menjalani baki hukuman mereka.

Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin memberitahu Kongres mengenai niat untuk menghantar pulang kedua-dua tahanan itu pada 14 Nov 2024.

Selepas rundingan dengan pihak berkuasa Malaysia, semua keperluan untuk pemindahan secara bertanggungjawab telah diselesaikan, menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS