Selain memperjuangkan hak pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai industri Malaysia, Hari Migran Antarabangsa Tenaganita juga menyerlahkan eksploitasi daripada janji palsu tentang pekerjaan yang tidak wujud.
Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das menegaskan bahawa pekerja yang dijanjikan pekerjaan palsu juga harus dilindungi melalui undang-undang buruh tempatan.
“Mereka bukan tanpa dokumen. Mereka datang sini dengan dokumen yang sah, yang dikeluarkan oleh negara mereka.
“Tetapi kerana pekerjaan yang tidak wujud, mereka terperangkap dalam situasi pemerdagangan buruh dengan keadaan yang menindas.
"Ramai juga telah ditangkap, ditahan, dan dihantar pulang," kata Glorene (gambar atas) pada sidang media di pejabat Tenaganita di Petaling Jaya yang dihadiri sekurang-kurangnya 10 pekerja Bangladesh yang terkandas yang dijanjikan pekerjaan.
'Jabatan Tenaga Kerja tak peduli aduan'
Pekerja kes Tenaganita Joseph Paul Maliamauv bercakap dengan dua daripada migran itu, yang mendedahkan mereka tiba di Malaysia pada Jun tahun lalu dengan permit kerja yang sah, tetapi pekerjaan dan gaji yang dijanjikan tidak ditemui.
Menerusi jurubahasa, kedua-dua mereka berkongsi bahawa mereka masing-masing membayar lebih RM20,000 sebagai yuran pengambilan untuk perjalanan mereka ke sini, tetapi ejen yang dilantik tidak menunaikan janji untuk menempatkan mereka dengan majikan.
“Jabatan Tenaga Kerja tidak mahu mengambil kes sebegini. Seboleh-bolehnya, mereka akan membuang aduan itu,” kata Joseph.
“Alasan yang diberikan ialah meski migran telah tiba di sini, mereka masih belum mula bekerja djadi eksploitasi (buruh) belum berlaku.
"Mereka (Jabatan Tenaga Kerja) tidak melihat terkandas di sini sebagai satu bentuk eksploitasi," kata aktivis migran veteran itu.
Menurut Tenaganita, pekerja asing juga diminta oleh Jabatan Tenaga Kerja untuk mengeluarkan dan membayar jurubahasa yang mengenakan bayaran sehingga RM500 atau lebih sehari.
Bagi aduan yang diterima Jabatan Tenaga Kerja, Glorene berkata proses sangat perlahan, termasuk untuk menuntut gaji dan faedah yang tidak dibayar.
“Dalam sesetengah kes, ia boleh mengambil masa antara enam bulan dan satu tahun hanya untuk kes itu disebut.
"Sementara itu, apa yang berlaku kepada pekerja?" soalnya.
Melangkah ke hadapan, Tenaganita dalam gesaan tahunannya menggesa kerajaan memastikan semua pekerja yang terjejas mendapat pekerjaan yang sesuai dan terjamin.
Selanjutnya, kumpulan itu mendapatkan jaminan bahawa semua pekerja yang terjejas, termasuk mereka yang telah menjadi tidak berdokumen, tidak menghadapi penangkapan, penahanan, atau pengusiran sewenang-wenangnya.
Mereka menambah bahawa pekerja juga mesti dijamin akses kepada mekanisme aduan yang telus dan boleh diakses untuk penyelesaian.