Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, hari ini menyatakan dia didapati tidak mengelirukan Dewan Rakyat selepas kesnya diteliti Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Katanya dia dipanggil untuk memberi keterangan di depan jawatankuasa berkenaan pada 6 Sept lalu dan sesi tersebut berlangsung selama hampir 2 jam 30 minit.
Pada sesi berkenaan, kata Wan Saiful, dia membentangkan kronologi mengenai apa yang berlaku.
"Sebagai bukti, saya turut memainkan rakaman audio dan tunjukkan gambar serta tangkap layar mesej WhatsApp.
"Saya juga berkongsi identiti individu-individu yang menemui saya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Saiful sebelum ini dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada 24 Jun lalu melalui usul kerajaan yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said.
Usul itu dibawa apabila bekas Ketua Penerangan Bersatu itu didakwa mengelirukan Dewan Rakyat terkait dakwaan ada pihak tertentu memberi tawaran agar dia memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Wan Saiful membuat kenyataan tersebut pada 28 Feb dan 21 Mac lalu.
Kata Wan Saiful, semua bukti yang dibawanya di hadapan jawatankuasa terbabit menunjukkan memang ada pihak yang bertemu dengannya dan memberikan tawaran berkaitan.
Hasilnya, kata bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu lagi, jawatankuasa terbabit mendapati dia tidak mengelirukan Dewan Rakyat.
"Saya bercakap benar. Saya tidak akan sama sekali (mengkhianati) perjuangan walau ditekan dan diancam dengan pelbagai tindakan oleh mereka yang zalim, atau cuba dirasuah dengan pelbagai habuan," katanya lagi.
Wan Saiful juga berkata, rakyat perlu menilai pihak yang didakwanya menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk membeli sokongan.
"Cuma saya terkilan kerana jawatankuasa tidak mengeluarkan hansard penuh ucapan saya selama hampir 2 jam 30 minit dalam prosiding berkenaan.
"Jika teks ucapan itu dikeluarkan sebagai hansard, maka semua bukti akan jadi rekod rasmi yang boleh dibaca sendiri oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya.