Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPT akan rujuk isu IPT batal program siswa, dakwa Haram

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) mendakwa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan merujuk isu pembatalan beberapa program anjuran aktivis mahasiswa universiti awam ke institusi pendidikan tinggi (IPT) berkaitan.

Presiden Haram, Brendon Gan, berkata jaminan itu dibuat selepas mereka menuntut penjelasan berkenaan isu berkaitan.

“KPT menyatakan bahawa kenyataan ini akan dipanjangkan kepada pihak berkenaan terutamanya HEP (hal ehwal pelajar) di universiti terbabit dan perlu memberi penjelasan mengenai program yang disekat atau dibatalkan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Menurut Gan, Haram bertegas mahukan penjelasan mengenai insiden lampu yang dipadamkan semasa forum Warga Tidak Bernegara - Anak Haran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), selain pameran Ruang Khas Siasatan Terhadap Kematian Balamurugan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan penolakan kelulusan VIBE Festival di UIA.

Terdahulu, Gan bersama beberapa aktivis mahasiswa dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengadakan pertemuan dengan wakil KPT.

Tuntutan itu diserahkan kepada Ketua Komunikasi Korporat KPT, Mohamad Hafizi Rosli.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Haram, Alyaah Hani Anuar, berkata mereka mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang mencabul kebebasan akademik, terutamanya di IPT.

Alyaah Hani berkata sebagai institusi ilmu, universiti harus menjadi medan terbuka untuk diskusi dan debat yang sihat, bukan medan kawalan, penapisan, dan intimidasi.

Menurut Alyaah beberapa insiden yang berlaku di IPT baru-baru ini adalah sangat mengecewakan.

Selain mencabul hak kebebasan akademik, katanya, hal itu juga mencemarkan nama baik IPT.

“Tindakan seperti ini menjejaskan reputasi IPT sebagai platfom untuk kebebasan intelektual dan pemikiran kritikal.

“Selain itu, intimidasi terhadap aktivis mahasiswa seperti kes saya dipanggil polis kerana protes pro-Palestin baru-baru ini, serta sekatan terhadap akaun media sosial Fahmi Reza menandakan corak sistemik yang menindas kebebasan berekspresi di Malaysia.

“Program serta inisiatif yang ingin menonjolkan isu hak asasi manusia di IPT awam tidak diberikan kelulusan atas alasan kolot dan terbelakang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS