Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: Ikhlaskah pemimpin PAS lain pertahan Najib seperti Nik Abduh
Diterbitkan:  Dec 18, 2024 1:31 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Seorang pemimpin Umno mempersoalkan keikhlasan pemimpin PAS dalam memperjuangkan titah adendum tahanan rumah buat Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata bagaimanapun dia yakin dengan keikhlasan anak bekas mursyidul am PAS, Nik Aziz Nik Mat iaitu, Nik Mohamad Abduh yang mempertahankan bekas perdana menteri itu.

"Saya ucap terima kasih kepada Nik Abduh kerana berterus terang. Dia cadang supaya Najib dibebaskan sepenuhnya bukan tahanan dalam rumah.

"Kita tidak pasti pemimpin PAS lain ikhlas atau tidak apabila beriya-iya membangkitkan isu titah adendum. Ada yang ke mahkamah tunjuk muka.

"Kita doakan Nik Abduh kekal lama dalam kepimpinan tertinggi PAS. Parti itu suka cop orang. Siapa yang dicop senget akan cepat disisihkan," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Nik Mohamad Abduh berpendapat Najib yang juga bekas presiden Umno tidak perlu mendapatkan tahanan rumah, sebaliknya diberikan kebebasan sepenuhnya.

“Saya tidak cadangkan beliau diberi tahanan rumah. 

"Hak beliau adalah bebas sepenuhnya,” katanya yang juga bekas ahli Parlimen Bachok.

Awal bulan ini, anak Najib, Mohd Nizar memfailkan afidavit bahawa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan titah tambahan untuk membolehkan bapanya menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan rumah.

Najib Razak

Dalam pada itu, Mohd Puad membangkitkan persoalan apa yang diungkapkan Nik Mohamad Abdul dengan berlakon matang.

"Tetapi apa yang dimaksudkan oleh Nik Abduh dengan berlakon matang? Adakah mereka yang bijak berlakon tetapi hakikatnya palsu?

"Sebab itu cabaran kepada Najib kini ialah bukan sahaja dia gagal dapat perbicaraan adil tetapi lakonan matang peringkat tertinggi. Menurut Nik Abduh, mahkamah juga berlakon," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS