Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Taib gagal dapat perintah injunksi ke atas Bruno Manser Fonds
Diterbitkan:  Dec 18, 2024 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Sebahagian daripada saman fitnah yang dimulakan anak perempuan kepada bekas Yang Di-Pertua negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud terhadap kumpulan alam sekitar telah ditolak.

Bruno Manser Fonds (BMF) berkata Mahkamah Sivil Basel di Switzerland menolak permohonan injunksi bagi melarangan tujuh kenyataan yang diminta oleh Jamilah, suaminya - Sean Murray - dan syarikat hartanahnya yang berpangkalan di Kanada iaitu, Sakto Group (Sakto).

"Mahkamah memutuskan bahawa permohonan undang-undang oleh plaintif untuk larangan adalah terlalu luas dirumuskan kerana BMF tidak membuat sebarang kenyataan dalam borang ini," kata kumpulan terbabit dalam kenyataan hari ini.

Penjelasan BMF itu antara lain mendakwa plaintif melakukan rasuah, pengubahan wang haram, dan mencuri aset daripada rakyat Sarawak.

BMF menambah mahkamah juga menolak permintaan untuk memadam semua penerbitan kandungan kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, kata BMF, mahkamah masih belum memutuskan mengenai 259 petikan teks yang turut dipohon oleh plaintif agar turut dipadamkan.

Sementara itu Pengarah Urusan BMF Lukas Strauman menyambut baik keputusan mahkamah di Switzerland.

“Kami yakin kami juga akan memenangi baki bahagian kes sepenuhnya,” katanya.

BMF berada di barisan hadapan dalam meneliti kekayaan Abdul Taib berhubung tuduhan dia telah mengumpul sejumlah besar kekayaan sepanjang 33 tahun berkhidmat sebagai ketua menteri Sarawak.

Dalam pemfailan sebelum ini bagi memohon injunksi, Sakto berkata tanggapan yang dibuat BMF adalah "salah dan merosakkan" reputasi dan perniagaan syarikat terbabit.

Ia menyatakan sejak 2010, NGO itu memfailkan dan menghantar banyak aduan dan surat merentasi enam bidang kuasa dengan pelbagai pihak berkuasa mengenai syarikat itu.

Sakto menafikan dakwaan itu, menggelarnya sebagai "teori tidak benar mengenai Sakto yang dikemukakan sebagai fakta".

Pada 2017, BMF menghasilkan laporan setebal 86 muka surat bertajuk "Safe Haven Canada", memperincikan dakwaan empayar perniagaan Abdul Taib di negara itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS