Seorang lelaki pemilik kedai pakaian mengalami kerugian kira-kira RM2 juta selepas mendakwa dia terperdaya dengan pelaburan saham dalam talian.
Ketua Polis Johor M Kumar berkata warga emas berusia 70 tahun itu dimasukkan ke satu kumpulan WhatsApp selepas tertarik dengan iklan pelaburan mata wang asing yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Katanya mangsa kemudian berurusan dengan pentadbir (admin) kumpulan tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut.
"Mangsa yang percaya dengan keuntungan segera dijanjikan kemudian telah membuat bayaran berjumlah RM2,118,000 ke beberapa akaun bank yang diarahkan suspek antara Nov lalu hingga awal bulan ini.
"Mangsa juga mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi yang diarahkan sebelum mendaftar akaun di aplikasi tersebut bagi memantau pelaburan berkenaan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kumar berkata setelah bayaran dibuat, mangsa melihat status pelaburannya di aplikasi yang didaftarkan itu mencatatkan keuntungan sebanyak lebih RM6.2 juta.
Seterusnya, mangsa mahu menjual kembali saham tersebut tetapi tidak berjaya malah wang hasil keuntungan pelaburan juga tidak dapat dikeluarkan.
Justeru, katanya, mangsa percaya dia telah ditipu lalu membuat laporan polis di Batu Pahat semalam.
"Kes disiasat di bawah kesalahan tipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Kumar juga menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang dilihat di media sosial serta dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
- Bernama