Pada Jun tahun ini, Malaysiakini menyerahkan senarai kepada Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani, yang mendedahkan projek ladang kelapa sawit baru di Semenanjung Malaysia yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas 2020. Skala penebangan hutan bagi projek-projek ini setara dengan separuh keluasan Pulau Pinang.
Johari janji jumpa MB jelaskan buah sawit tak boleh dipasar
Malaysiakini berulang kali mengemukakan pertanyaan susulan kepada pejabat Johari dan Kementerian Perladangan dan Komoditi. Bulan lalu, portal ini akhirnya menerima maklum balas daripada kementerian tersebut. Menurut kenyataan kementerian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak menerima sebarang permohonan ladang daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan.
Jurucakap kementerian menjelaskan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek-projek ini diluluskan oleh Kementerian Alam Sekitar kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian tersebut, bukannya Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Dia turut menegaskan dasar ketat telah dilaksanakan: sebarang tanah hutan yang dibersihkan selepas tarikh akhir (31 Disember 2019) tidak layak untuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi buah sawit yang dihasilkan.
Dalam erti kata lain, Kementerian Perladangan dan Komoditi percaya kawasan yang telah ditebang ini bukan bertujuan dan tidak akan digunakan untuk penanaman kelapa sawit. Oleh itu, projek-projek ini dikatakan tidak berkaitan dengan kementerian tersebut.
Namun, hutan-hutan telah ditebang dengan alasan untuk membangunkan ladang kelapa sawit. Jika tiada rancangan untuk menanam pokok itu, mengapa projek-projek pembalakan ini tidak dihentikan?
Bukti satelit sahkan tebang hutan
Kerajaan menetapkan tarikh akhir penebangan hutan bagi pembukaan semua ladang kelapa sawit adalah pada 31 Disember 2019. Namun, rancangan-rancangan baru ini diluluskan antara 2020 hingga 2023. Dengan kata lain, empat tahun selepas larangan ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih meluluskan projek-projek baru.
Sebanyak 12 projek telah diluluskan yang melanggar peraturan kerajaan. Projek-projek ini terletak di Pahang (4), Johor (4), Terengganu (2), Kelantan (1) dan Perak (1).
Malaysiakini telah menghubungi JAS dan pemaju projek-projek tersebut untuk mendapatkan maklum balas mereka.
Pada April lalu, Malaysiakini melaporkan mengenai penebangan hutan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) bagi membangunkan ladang kelapa sawit walaupun terdapat larangan pada 2020.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini menerima pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk ladang mereka meskipun ia melanggar peraturan pemuliharaan MPOB, termasuk apabila membersihkan zon riparian (tebing sungai) dan melakukan pembakaran terbuka.
BACA BERKAITAN: Ada balak di balik sawit | Kini News Lab
MPOB berulang kali memberi jaminan bahawa industri kelapa sawit Malaysia tidak akan menyumbang kepada penebangan hutan, namun penemuan di atas menimbulkan kebimbangan sejauh mana janji tersebut dipatuhi.
Berikut apa yang telah kami temui.
Projek ladang kelapa sawit dan pembalakan di Malaysia (2020 - 2024):
Pahang
Sejak 2020, sekurang-kurangnya empat projek baru telah diluluskan di Pahang, dengan tiga daripadanya terletak di daerah Rompin.
1. Keratong, Rompin (YP Olio)
- Keluasan: 8,499 hektar (projek pembalakan dan ladang kelapa sawit) di tanah persendirian No. ET 12227, Keratong, Rompin.
- Pemaju: YP Olio, syarikat yang dimiliki oleh kerabat diraja Pahang.
- Status EIA: Diluluskan pada 3 Ogos 2022.
- Isu Alam Sekitar: Tapak ini merupakan habitat penting Harimau Malaya dan gajah Asia, menurut Macaranga.
- Konflik Tanah Adat: Penduduk Orang Asli tempatan telah memfailkan saman terhadap YP Olio dan kerajaan Pahang kerana mencabuli hak tanah adat mereka.
Pekan; Pasfa
2. Pekan (Pasfa)
- Keluasan: 402 hektar (ladang kelapa sawit) di Kampung Air Hitam Darat, Lepar, Pekan.
- Pemaju: Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa). Presidennya ialah Zamri Yaakob, iaitu abang kepada bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.
- Status EIA: Diluluskan pada 29 Jun 2021, ketika Ismail Sabri memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Keselamatan.
- Zamri mendakwa projek ini mematuhi peraturan DOE termasuk perlindungan zon penampan sungai.
- JAS telah meluluskan laporan EIA Pasfa pada 29 Jun 2021. Laporan EIA ini diluluskan ketika Ismail Sabri Yaakob menjadi menteri kanan keselamatan, salah seorang daripada empat menteri kanan di bawah kabinet Muhyiddin Yassin.
3. Kuala Pontian, Rompin (Kepala Mentari)
- Keluasan: 122 hektar (ladang kelapa sawit) di Lot 26172, Pontian, Rompin.
- Status EIA: Diluluskan pada 18 Februari 2021.
Keratong, Rompin (Asyadihan Plantations)
- Keluasan: 854 hektar (projek pembalakan dan ladang kelapa sawit) di PT 16675, Keratong, Rompin.
- Status EIA: Diluluskan pada 4 Mei 2020.
- Isu Alam Sekitar: Sebahagian besar hutan semula jadi telah dibersihkan menjelang 2022, dengan jejak pembalakan dikesan sejak 2019.
Johor
Johor
Empat projek ladang kelapa sawit telah diluluskan sejak 2020, dengan dua daripadanya melibatkan syarikat yang berkaitan dengan kerabat diraja Johor.
1. Kota Tinggi (Lengor Venture)
- Keluasan: 64 hektar di PTD399, Ulu Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi.
- Status EIA: Diluluskan selepas DOE menerima laporan EIA pada 12 Disember 2023.
2. Padang Endau, Mersing (AA Sawit)
- Keluasan: 3,775 hektar (ladang kelapa sawit dan kelapa) melibatkan enam plot tanah di Padang Endau, Mersing.
- Pemilikan: Dimiliki oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail.
- Status EIA: Diluluskan pada 20 Februari 2023 walaupun laporan sebelumnya mendapati pembukaan hutan berlaku sebelum kelulusan.
- Tindakan Penguatkuasaan: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengarahkan AA Sawit menghentikan operasi pada Mac 2023.
3. Padang Endau, Mersing (YPJ Plantation)
- Keluasan: 321 hektar di PTD 4893, Padang Endau, Mersing.
- Pemaju: Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), entiti milik kerajaan Johor.
- Status EIA: Diluluskan pada 29 Mei 2021.
4. Kota Tinggi (AA Sawit)
- Keluasan: Ladang di PTD 1478, PTD 1479, PTD 2266, dan PTD 5934, pesisir pantai timur Kota Tinggi.
- Status EIA: Diluluskan pada 18 Januari 2021.
Terengganu
Dua projek kelapa sawit diluluskan sejak 2020, dengan satu daripadanya dimiliki oleh kerabat diraja Terengganu.
1. Marang (Pure Green Development)
- Lokasi: Lot 77055, Pulau Kerengga, Marang.
- Pemilikan: Dimiliki oleh Tengku Baderul Zaman, adinda kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
- Status EIA: Dihantar pada 11 Januari 2024 dan telah diluluskan.
- Isu Alam Sekitar: Pada September Malaysiakini melaporkan terdapat cadangan penukaran hutan paya gambut Kuala Nerus kepada ladang sawit, tetapi ditolak oleh JAS.
BACA BERKAITAN: Projek Sultan T'ganu, adinda cetus kebimbangan alam sekitar
2. Dungun (Sandemas Trading)
- Keluasan: 142 hektar di PT 2449 (HSD 3492), Jengai, Dungun.
- Status EIA: Dihantar pada 17 Januari 2024 dan diluluskan.
Kelantan
Gua Musang (Ikrar Bumi Sdn. Bhd.)
- Keluasan: 450 hektar di Lot PT 22 Blok B, Kompartmen 18, 141 dan 142 di atas tanah Sultan di Hutan Simpan Sungai Betis, Bertam, Ulu Nenggiri, Kelantan.
- Status EIA: Diluluskan pada 12 Januari 2021.
- Dimiliki oleh Sultan Kelantan melalui syarikat Ikrar Bumi Sdn. Bhd.
Perak
Perak
Selama (PKEINPk)
- Keluasan: 201 hektar di Hulu Ijok, Selama.
- Pemaju: Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk), anak syarikat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK).
- EIA dihantar pada 12 Mei 2023 dan berdasarkan laman JAS, ia telah diluluskan.
Laporan ini dihasilkan dengan kerjasama Jaringan Penyiasatan Hutan Hujan (Rainforest Investigations Network), Pulitzer Center. Terjemahan ke bahasa Melayu oleh Rahmat Haron.