Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar, Apandi dan 3 bekas menteri Dr M diadukan ke polis
Diterbitkan:  Dec 18, 2024 8:35 AM
Dikemaskini: 12:38 AM

Beberapa laporan polis dibuat terhadap Anwar Ibrahim, tiga anggota kabinet Dr Mahathir Mohamad, dan bekas peguam negara, Apandi Ali ekoran dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes Batu Puteh.

Peguam Rafique Rashid Ali berkata sekurang-kurangnya dua individu - Wan Muhammad Azri Wan Deris dan Khairuddin Abu Hassan - membuat laporan tersebut secara berasingan.

Katanya lebih ramai dijangka berbuat demikian tidak lama lagi.

Rafique dalam kenyataannya memetik laporan tersebut yang meminta polis menyiasat mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan kerana menipu; Seksyen 504 (menghinaan dengan sengaja ntuk mencetuskan pecah keamanan); dan Seksyen 505(b) mengenai kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam.

Secara khusus, Rafique berkata laporan terhadap Anwar adalah berdasarkan kenyataan perdana menteri itu pada 6 Dis yang melabel mereka yang terlibat dalam kes Batu Puteh sebagai pengkhianat "walaupun tiada bahagian dalam laporan RCI menyatakan perkara sedemikian".

“Tindakan ini adalah percubaan untuk menipu dan memutarbelitkan laporan RCI dan membuat tuduhan palsu dengan sengaja untuk menimbulkan ketakutan, keresahan di kalangan orang ramai, dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Menurut peguam itu lagi, laporan berkenaan menamakan Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Anthony Loke yang berkhidmat dalam kabinet Mahathir ketika keputusan menarik balik permohonan semakan tersebut dibuat kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Katanya, ketika keputusan itu dibuat ketiga-tiga pemimpin utama PH berkenaan bersetuju secara kolektif namun selepas enam tahun berlalu mereka didakwanya mengubah pendirian, tidak jujur dan menunjukkan unsur penipuan.

Berkenaan Apandi, Rafique berkata, ketika itu melakukan tindakan tidak wajar selaku peguam negara.

“Antara lain, beliau tidak melibatkan pihak atau agensi lain, dan timbul isu berkaitan kos dan dana awam,” kata Rafique.

Khairuddin pula dalam kenyataannya mendakwa percaya penubuhan RCI tersebut mempunyai “niat jahat sejak hari pertama untuk menganiaya Mahathir bagi tujuan membalas dendam politik Anwar.”

Justeru, katanya, dia berazam untuk melawan tuduhan tersebut berhabis-habisan.

"Alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS