Kumpulan hak asasi manusia, Suaram menyatakan rasa kecewa apabila sebuah universiti tempatan menolak permohonannya untuk mengadakan jelajah pameran mengenai kronologi kematian S Balamurugan yang meninggal dunia ketika dalam tahanan.
Ini selepas pihak universiti itu dikatakan menganggap pameran itu sebagai “terlalu sensitif” dan “anti-kerajaan”.
Suaram berkata pihaknya sudah berusaha untuk mendapatkan persetujuan pensyarah, fakulti dan dewan di universiti berkenaan, namun dimaklumkan permohonan mereka ditolak oleh Bahagian Hal Elwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) semalam – dua hari sebelum pameran itu dijadualkan berlangsung.
NGO itu turut mengecam tindakan BHEPA memaklumkan status tersebut pada saat-saat akhir sedangkan persiapan penuh telah dibuat.
"Keputusan BHEPA menolak kelulusan program ini dilihat sebagai sekatan ke atas pelajar dalam kebebasan akademik.
"Secara tak langsung menunjukkan bahawa posisi BHEPA berat sebelah bersifat tidak neutral kerana menganggap program ini bersifat sensitif dan melawan kerajaan,” kata kumpulan itu dalam hantaran di Facebook hari ini.
Pameran selama tiga hari itu pada awalnya dijadualkan berlangsung di sebuah universiti di Pulau Pinang bermula esok hingga 20 Disember. Ia memaparkan kronologi siasatan kematian S Balamurugan pada tahun 2017.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati terdapat penyalahgunaan kuasa serius oleh pihak polis dalam kes itu, termasuk tindakan menangkap semula Balamurugan tanpa alasan munasabah dan kegagalan mematuhi arahan majistret untuk membawanya ke hospital.
Dia juga didakwa dipukul polis untuk membuat pengakuan, menyebabkan kematian akibat trauma hentakan tumpul yang membawa kepada kegagalan jantungnya.
Pada Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan dan polis membayar RM338,000 sebagai ganti rugi kepada keluarga Balamurugan selepas mendapati mereka bertanggungjawab menyebabkan kematiannya.https://www.malaysiakini.com/news/707192
Sementara itu, Suaram memaklumkan bahawa EAIC serta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) turut serta dalam siri jelajah sebelum ini.
"Adakah BHEPA beranggapan agensi tersebut sebagai gerakan melawan kerajaan?” soal Suaram.
Malaysiakini sedang menghubungi pihak pengurusan universiti berkenaan dan tidak menyiarkan nama institusi terbabit sehingga menunggu kenyataan mereka.
Sementara itu, Suaram memaklumkan program tersebut akan ditunda selama sehari dan akan diadakan di lokasi baru, dengan maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak.