Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkasa mahu polis, PM lebih giat banteras judi dalam talian

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mempersoalkan lambakan premis perjudian dalam talian yang seolah-olah gagal ditangani oleh pihak berkuasa secara berkesan di sekitar Lembah Klang.

Justeru Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali, meminta pihak berkuasa khususnya polis supaya membanteras kewujudan premis berkenaan yang dijangka telah wujud secara haram melebihi 100 unit.

Katanya, meskipun banyak pendedahan dan seringkali dibangkitkan oleh pelbagai pihak, namun ia seolah-olah 'kebal' daripada tindakan pihak berkuasa.

"Depan mata sahaja (pusat perjudian dalam talian) polis tak dapat banteras. Saya rasa kena tunggu Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay naik jadi IGP (ketua polis Negara).

"Kalau tidak ia berleluasa seolah-olah dilindungi oleh orang tertentu.

"Yang jadi mangsa ialah anak bangsa kita yang terdedah kepada perjudian online.

"Duit (pinjaman) PTPTN tak tahu ke mana, minta perdana menteri kita bertindaklah, polis jangan takut untuk bertindak," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya lagi, ketika Ayob Khan menjadi pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman, kegiatan tersebut diberi tumpuan untuk dibanteras dengan sebaik mungkin.

Namun, katanya, ia kini aktif semula sehingga tidak boleh dikawal.

"Saya kecewa apabila laporan media mendedahkan ia membabitkan orang Melayu sebagai pelanggan paling ramai," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS