Di tengah peningkatan bayaran menunaikan haji yang diumumkan Tabung Haji (TH), PAS percaya isu lebih besar dan perlu diutamakan adalah kesannya terhadap kemampuan umat Islam yang mahu menunaikan ibadah itu.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyatakan kebimbangannya susulan kenaikan sehingga 20 peratus yang akan bermula tahun depan.
Dia menyifatkan kenaikan itu sebagai tidak wajar, tidak kena masa dan akan memberi beban besar ke atas kemampuan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.
"Terutama sekali dengan tekanan ekonomi semasa termasuk dari segi peningkatan kos sara hidup, harga barangan keperluan dan peluang pekerjaan yang terhad," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, TH mengumumkan kadar bayaran haji untuk bakal jemaah muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu pada RM15,000, manakala RM23,500 untuk kumpulan M40 dan RM33,300 - iaitu bayaran penuh - untuk kumpulan T20.
Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO TH Syed Hamadah Syed Othman dilaporkan berkata kenaikan tersebut disebabkan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj khidmat di Tanah Suci yang mewakili hingga 87 peratus jumlah kos haji.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata ia bukanlah suatu keadaan yang mendesak bagi TH dan kerajaan mengambil langkah sedemikian.
Dia membangkitkan kenaikan bayaran yang telah dinaikkan sejak beberapa tahun kebelakangan, iaitu sebanyak RM10,980 pada 2022 dan RM12,356 pada 2024 berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan bayaran kurang RM10,000 seorang.
"Selain pertimbangan beban kewangan yang akan dihadapi bakal jemaah, dasar semasa TH berkait peranan dan tujuan penubuhannya perlu diteliti semula berikutan kesannya ke atas kemampuan institusi tersebut untuk terus memberi kemudahan terbaik kepada rakyat untuk ke Tanah Suci, baik dari segi mutu perkhidmatan mahupun kos yang boleh dicapai oleh semua golongan," katanya.
Sementara itu, Takiyuddin juga membangkitkan perubahan pelaburan TH kepada tumpuan dalam aset simpanan tetap yang menurutnya sebagai faktor utama ia tidak mampu “menjana keuntungan yang munasabah bagi mengekalkan kos haji pada paras lebih rendah”.
Dia merujuk penstrukturan semula TH ketika pentadbiran PH di bawah Dr Mahathir Mohamad, di mana pelaburan ditumpukan dalam aset tetap.
"Justeru PAS menggesa TH supaya menarik balik keputusannya untuk menaikkan kos haji pada 2025, sekali gus mendesak kerajaan agar mengkaji semula dasar pelaburan semasa TH bagi membolehkannya menjalankan peranan sebagai tabung pelaburan umat Islam yang menguntungkan," kata Takiyuddin lagi.
Menurut laporan Bernama pada 14 Mac 2020, pengarah urusan kumpulan dan CEO TH ketika itu, Nik Mohd hasyudeen Yusoff berkata lebih separuh aset lembaga itu dilaburkan kepada pelaburan yang memberi pendapatan lebih tetap, di tengah cabaran pasaran kewangan dan ekonomi global ketika itu.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Media Baru Pemuda Bersatu Na’im Brundage menyifatkan kenaikan itu tidak boleh diterima, memandangkan kos keseluruhan haji kekal pada RM33,300.
“Implikasi daripada kenaikan mendadak ini ialah ramai golongan B40 berkemungkinan tidak lagi mampu untuk menunaikan haji, walaupun mereka telah bertahun-tahun menabung di institusi tersebut dengan harapan untuk menunaikan ibadah ini.
“Dengan peningkatan bayaran haji yang naik mendadak setiap tahun, besar kemungkinan harapan itu akan kekal hanya sebagai harapan.
“Kerajaan perlu bertindak segera untuk mengembalikan subsidi haji yang telah dipotong bagi memastikan rakyat tidak hilang kepercayaan terhadap institusi Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan.