Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyindir Anwar Ibrahim dengan mengatakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan kedaulatan Pulau Batu Puteh sebagai "langkah kebetulan" dan bukan berunsurkan dendam terhadapnya.
Dalam satu kenyataan, Mahathir dipercayai merujuk kenyataan Anwar yang mengatakan laporan RCI itu bukan bertujuan membalas dendam terhadap bekas perdana menteri itu.
Sebelum ini laporan RCI berkenaan mengesyorkan supaya Mahathir disiasat dan dikenakan tindakan.
"Keputusan dibuat oleh RCI iaitu orang berkenaan sudah lakukan jenayah treason. Ia perlu disiasat sebagai penjenayah. Jika didapati bersalah ia akan disumbat ke dalam penjara lima tahun, denda.
"Tidak ada dendam.
"Cuma secara kebetulan sahaja. Boleh jadi kepada orang lain. Tetapi apa boleh buat. Ia terjadi pada orang ini. Pencuri yang tidak curi. Pengkhianat yang tidak dapat satu sen pun. Pengkhianat percuma.
"Amat adil orang seperti ini dipenjara sehingga mati. Dia akan jumpa dengan kawannya yang sudah pergi dahulu," katanya dipercayai merujuk kepada bekas menteri kewangan, Allahyarham Daim Zainuddin.
"Alhamdulillah – segala puji bagi Allah. Inilah keadilan orang yang tidak dendam," sindir Mahathir.
Konflik kepentingan
Sementara itu Mahathir berkata sebelum RCI itu ditubuhkan, kajian telah dilakukan dan dipengerusikan oleh bekas hakim yang didakwanya mempunyai konflik kepentingan.
Malah, katanya, RCI itu sendiri dipengerusikan oleh bekas hakim yang mempunyai konflik kepentingan.
"RCI yang sepatutnya terbuka dijadikan siasatan tertutup. Orang yang akhirnya jadi sasaran hanya menjadi saksi.
"Tidak ada cross examination. Laporan 270 muka disedia. Tetapi 47 muka diblack-out," katanya merujuk laporan setebal 47 muka surat yang dipadamkan atas alasan keselamatan negara.
Dalam hantaran itu juga Mahathir berkata dakwaan bahawa dia mencuri wang negara berbilion Ringgit sehingga kini tidak dapat dibuktikan.
“Sebenarnya tidak ada dendam. Hanya secara kebetulan terkena pada orang tertentu yang juga musuh orang yang tidak dendam.
"Konon orang ini maha kaya setelah curi duit kerajaan berbilion-bilion. Disaman untuk tunjuk bukti! Tidak ada bukti selepas lebih setahun berlalu.
"Konon ada kotak penuh dokumen bukti duit kerajaan disamun oleh orang ini. Konon! Tetapi masih konon. Tak ada dokumen untuk didedah,” tambahnya.
Bahkan kata Mahathir, anak-anaknya diarah untuk mengisytiharkan harta mereka sepanjang 40 tahun, namun tiada tindakan diambil walaupun telah berbulan berlalu.
"Anak mesti dedah perolehan dan perbelanjaan mereka selama 40 tahun. Jika tidak dedah akan dipenjara 5 tahun, didenda iaitu tiba-tiba jadi penjenayah.
“Sudah puluh bulan berlalu. Tak tahu apa sudah jadi? Salahkah? Tidak salahkah?
“Tetapi belum lepas. Masih tergantung,” katanya.