Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yeoh cadang Kg Sg Penchala diiktiraf sebagai kampung warisan Melayu
Diterbitkan:  Dec 17, 2024 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengiktiraf Kampung Sungai Penchala - yang terletak di dalam kawasan Parlimen itu - sebagai kampung warisan Melayu.

Yeoh berkata kampung itu bukan saja memiliki keunikan dari segi seni bina tradisional dan budaya, tetapi juga menjadi simbol penting warisan komuniti Melayu di Kuala Lumpur.

Katanya lagi, sebagai salah satu kampung Melayu terakhir di ibu kota, usaha itu penting bagi mengekalkan identiti dan legasinya yang semakin terancam ekoran pembangunan tidak mampan.

"Sejak diberi amanah sebagai ahli Parlimen Segambut, saya secara konsisten memperjuangkan agar Kampung Sungai Penchala diiktiraf sebagai kampung warisan Melayu.

"Saya difahamkan bahawa DBKL kini berada dalam fasa untuk mewartakan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040. Saya menggesa DBKL agar nisbah plot bagi Kampung Sungai Penchala dikekalkan sebagai R1, iaitu kategori pembangunan yang hanya membenarkan bangunan tidak melebihi tiga tingkat," kata ahli Parlimen DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Kampung Sungai Penchala

Yeoh berkata langkah itu penting bagi memastikan pembangunan di situ tidak melampaui kapasiti infrastruktur sedia ada, selain memelihara identiti tradisionalnya.

Sementara itu, Yeoh turut membangkitkan sesi libat urus antara DBKL dengan penduduk Kampung Sungai Penchala dan Kampung Palimbayan pada 14 Disember lalu.

Ketika sesi itu, katanya, para penduduk antara lain menyuarakan sokongan terhadap pembangunan berasaskan eko dan semula jadi, serta membantah pembangunan berdensiti tinggi serta penyambungan jalan yang boleh menyebabkan kesesakan.

"Justeru, saya menyeru DBKL agar mendengar suara penduduk Kampung Sungai Penchala dan memastikan kepentingan penduduk tempatan diutamakan.

"Usaha untuk mengekalkan status Kampung Warisan Melayu bukan hanya demi generasi sekarang, tetapi juga sebagai legasi untuk generasi akan datang," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS