Polis Pahang berjaya melumpuhkan kumpulan samun bersenjata yang disyaki aktif melakukan jenayah itu di sekitar Lembah Klang dan Bentong, Pahang.
Lima ahli Geng Heri itu ditahan dalam operasi membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, antara 8 hingga 15 Dis lalu.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata semua suspek terbabit berusia antara 27 hingga 34 tahun itu dan ditahan dalam siri serbuan di Gombak, Selangor; dan Setapak, Kuala Lumpur.
Katanya polis sedang memburu seorang lagi ahli kumpulan terbabit, Mohamad Faizal Supardi, 32, atau yang lebih dikenali dengan panggilan Peja.
"Operasi memburu suspek ini dilakukan susulan laporan polis dibuat mangsa pada 29 Okt lalu.
"Mangsa dalam kejadian itu adalah warga asing dan pemilik kedai runcit di Bukit Tinggi, dekat Bentong," katanya dalam sidang media di IPD Bentong, hari ini.
Dalam kes samun yang berlaku kira-kira jam 1.45 pagi itu, kata Yahaya, mangsa mendakwa didatangi sekumpulan lelaki bersenjata parang dan besi yang menyamun kedainya.
Kejadian itu katanya mengakibatkan mangsa kerugian RM9,500.
Tambah Yahaya, kumpulan terbabit menggunakan modus operandi menyamar sebagai anggota polis dan menyasarkan warga asing sebagai mangsa mereka.
Hasil serbuan dilakukan baru-baru ini, katanya, polis berjaya merampas tiga pucuk pistol dan 62 butir peluru pelbagai jenis.
Katanya, satu daripada pistol itu adalah jenis 'airsoft' manakala dua lagi Pietro Beretta dan CZ 75D Compact yang dipercayai diperoleh dari negara jiran.
"Selain itu, polis juga merampas tiga bilah kerambit, sebilah pisau dan sebuah motosikal jenis Yamaha.
"Ujian air kencing dijalankan terhadap lima suspek itu mendapati empat daripadanya positif dadah jenis amphetamine.
"Semua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kes jenayah lain... mereka kini direman sehingga hari ini dan Jumaat," jelasnya.
Yahaya memaklumkan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.