Isu perbincangan agar Tengku Zafrul Abdul Aziz menyertai PKR semakin panas apabila sayap pemuda PKR menyifatkan perbuatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu sebagai biadab.
Pengarah Komunikasinya, Mohd Fauzi Fadzil berkata, perbuatan Tengku Zafrul menggugat hubungan baik dalam kerajaan Madani Selangor selain tidak dimulakan melalui hierarki sepatutnya.
“Sesungguhnya perbuatan Tengku Zafrul yang memulakan perbincangan untuk menyertai PKR sehingga menggugat hubungan baik di dalam Kerajaan Madani Selangor boleh dianggap sebagai biadab.
"Bagaimana beliau yang masih merupakan Ahli MKT Umno tergamak untuk memulakan perbincangan untuk menukar parti politik tanpa meletak jawatan terlebih dahulu?
"Jika benar dakwaan bahawa beliau kecewa dengan keadaan yang membelenggu Umno Selangor dan ingin bertukar kepada wadah yang yang beliau anggap lebih progresif maka mulakan proses dengan melepaskan keahlian dan jawatan di dalam Umno terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, katanya, sekiranya benar Tengku Zafrul berminat untuk menyertai PKR di peringkat negeri Selangor maka kepimpinan PKR Selangor yang diketuai oleh Amirudin Shari, yang juga menteri besar perlu dirujuk terlebih dahulu.
"Setelah mendapat restu yang sebaiknya di peringkat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor maka barulah permohonan tersebut diangkat ke peringkat pusat.
“Namun kini kepimpinan PKR, Pakatan Harapan dan Kerajaan Madani di Negeri Selangor langsung tidak mempunyai sebarang maklumat.
"Mana mungkin kehadiran beliau dapat disambut dengan berlapang dada sekiranya tiada langsung usaha perbincangan peringkat akar umbi dilakukan," tegasnya.
Baru-baru ini timbul spekulasi Zafrul akan menyertai PKR, dengan sebuah portal mendakwa rancangan sedang diatur agar senator itu bertanding dalam pilihan raya kecil supaya dia boleh mengambil alih jawatan menteri besar Selangor.
Perkhidmatan Tengku Zafrul dalam kerajaan akan berakhir pada Disember tahun depan apabila dia mencapai had penggalnya sebagai senator.
Umno bagaimanapun membantah mana-mana anggota dalam kerajaan perpaduan lompat parti.
Menjawab perkara itu, Tengku Zafrul berkata, individu mempunyai hak untuk memilih landasan perjuangan kerana tanpa keserasian, mustahil seseorang itu mampu memberi perkhidmatan yang terbaik.
Ketua Umno Bahagian Kota Raja itu juga berkata perbincangan awal tidak melibatkan isu jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil (PRK).
Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata tindakan Tengku Zafrul untuk menyertai PKR tidak sepatutnya diteruskan demi memastikan kestabilan Kerajaan Madani Selangor menjelang PRU 16.
"Memang benar seperti kata Tengku Zafrul kebebasan untuk memilih landasan perjuangan adalah hak asasi dan mutlak, namun jika kebebasan itu tidak disertakan dengan adab dan proses yang tertib maka ia akan melukakan ramai pihak yang terkait," katanya.