Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan tugas berat untuk meyakinkan pengundi tentang komitmennya meneruskan pembaharuan yang dijanjikan, kata seorang bekas timbalan menteri.
Bercakap kepada Malaysiakini, Mohamed Hanipa Maidin, mengingatkan kerajaan Madani juga boleh berisiko menerima kesan buruk yang bukan sahaja daripada pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, malah keputusan eksekutif dan perundangan baru-baru ini.
“Anwar akan menghadapi tugas berat untuk meyakinkan pengundi bahawa beliau benar-benar serius untuk membawa pembaharuan yang benar dan tulen.
“Lebih teruk lagi, perdana menteri juga mungkin menghadapi tugas berat untuk meyakinkan pelabur untuk melabur di Malaysia, melainkan dia menganggap mereka tidak mengambil berat sepenuhnya mengenai apa saja yang telah dan akan dilakukannya, atau apa sahaja dasar yang telah diperkenalkan dan ingin diperkenalkan pada masa hadapan," katanya.
Musa menarik perhatian ramai apabila menerima surat cara pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Istana Negara, hari ini.
Dia merupakan bekas ketua menteri Sabah dan pada Nov 2018 didakwa atas 46 pertuduhan melibatkan rasuah, dan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun Musa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada sebarang pertuduhan pada 9 Jun 2020 ekoran keputusan pihak pendakwaan menggugurkan kes mereka.
Untuk rekod, kerajaan hari ini mempertahankan pelantikan Musa dengan memberitahu ia merupakan budi bicara Agong selepas mendapat nasihat daripada ketua menteri.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata pelantikan itu melibatkan Perkara 1 Perlembagaan Sabah yang jelas menyatakan tugas dan tanggungjawab pelantikan Yang di-Pertua Negeri.
Kata Hanipa, selain isu pelantkan Musa, pemilihan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri ketika Presiden Umno itu berdepan dengan 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram juga menjejaskan kredibiliti Anwar.
“Reformasi dan Zahid dipilih sebagai timbalan perdana menteri.
"Reformasi dan Najib Razak serta (Mohd) Irwan (Serigar Abdullah) diberi DNAA (lepas tanpa bebas),” katanya.
Dia yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu PH menjadi kerajaan antara 2018 hingga 2020 merujuk kepada bekas perdana menteri dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang sebelum ini mendakwa mereka.