Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Program luncur ombak sempena tengkujuh di Kelantan berjaya
Diterbitkan:  Dec 17, 2024 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Kelantan menganggap langkah kerajaan negeri menganjurkan acara khas sempena kedatangan monsun timur laut (MTL) berjaya mencapai matlamat yang disasarkan.

Menurut Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Zameri Mat Nawang, musim tengkujuh yang berpanjangan sehingga kira-kira tiga bulan sesuai untuk negeri itu menganjurkan pertandingan seperti luncur ombak.

Katanya lagi, apabila disebut musim tengkujuh, ia tidak semestinya membawa maksud program berkenaan dilakukan sewaktu banjir.

“Aktiviti sukan luncur ini, tidak semestinya pada musim banjir dan hujan lebat. Ia sesuai juga kalau waktu panas selagi adanya MTL.

“Apa yang penting acara ini sesuai sekiranya ada ombak besar dan hasrat kerajaan negeri untuk menganjurkan program ini nampaknya telah berjaya,” katanya yang dipetik Harakahdaily sempena pertandingan Kemasin Surf Competition 2024 di Pantai Impian, Bachok, semalam.

Dia yang juga Adun Jelawat memberitahu kejayaan yang dicapai baru-baru ini memungkinkan kerajaan negeri akan menganjurkan acara masa pada masa depan.

Pada 13 Nov lalu Malaysiakini melaporkan kerajaan Kelantan mahu menganjurkan program tertentu bagi meningkatkan kegiatan pelancongan negeri sempena MTL.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Kamarudin Md Noor, berkata biasanya semasa musim tengkujuh sektor pelancongan negeri itu agak sepi.

Justeru, katanya, kerajaan negeri mahu mengubah keadaan itu dengan mengatur pelbagai program yang dianggap sesuai semasa musim tengkujuh.

Antaranya, kata Kamaruddin, penyediaan makanan istimewa dan kegiatan meluncur ombak.

Kata Zameri pertandingan luncur ombak kali ini menarik sehingga 70 orang peserta termasuk dari Portugal, Brunei Darussalam dan Singapura.

Tambahnyam Pantai Impian - kini dikenali sebagai Pantai Kemasin - sangat berpotensi menjadi destinasi sukan air bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

“Kelantan akan terus dipromosikan sebagai destinasi sukan lasak pilihan utama di Malaysia dan antarabangsa,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS