Bersatu Sabah mengalu-alukan keputusan PN untuk menerima pemakluman keluar Parti Maju Sabah (SAPP) daripada gabungan PN.
Setiausahanya Yunus Nurdin berkata keputusan PN itu adalah tepat kerana kenyataan-kenyataan presiden SAPP yang bertentangan dengan hasrat dan aspirasi PN di Sabah.
"Mereka terbukti bukan rakan juang PN untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
"Mesyuarat (Bersatu Sabah) mengucapkan selamat maju jaya kepada SAPP," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 14 Dis lalu, Presiden SAPP Yong Teck Lee mengumumkan parti itu menarik diri daripada PN susulan pendirian gabungan itu untuk bertanding pada PRN Sabah.
Menurutnya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 November lalu dan telah dimaklumkan kepada ibu pejabatnya.
Yunus berkata, pihaknya dalam mesyuarat pimpinan negeri 14 Dis lalu turut membincangkan persiapan PN untuk PRN Sabah bagi memantapkan jentera pilihan raya dan PN di semua peringkat.
"Bersatu akan mulakan perbincangan agihan kerusi yang akan dipertandingkan PN dengan parti-parti gabungan dalam masa terdekat ini," katanya.