Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tafsiran, pengelasan T15 dimuktamad dalam masa terdekat

Cadangan berkaitan definisi dan pengelasan kumpulan pendapatan T15 sedang diperhalusi dan akan diputuskan oleh jemaah menteri dalam masa terdekat, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini. 

Rafizi berkata terdapat beberapa cadangan yang sedang dibincangkan oleh kerajaan, justeru konsep dan pengkelasan T15 yang dipersetujui akan diguna pakai bagi pemberian bantuan dan subsidi kerajaan.

"Pengelasan T15 daripada Kementerian Ekonomi dicadangkan untuk beralih daripada pendekatan berdasarkan pendapatan kasar yang digunakan sebelum ini iaitu B40, M40 dan T20 kepada kaedah pendapatan boleh guna bersih bagi memastikan pengukuran dan penyasaran yang lebih inklusif dan adil," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad mengenai perincian kerajaan berkenaan golongan T15 yang berdepan penarikan balik subsidi bahan api, pendidikan dan kesihatan seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025. 

Rafizi berkata definisi dan mekanisme pengelasan golongan T15 berdasarkan pendapatan boleh guna bersih boleh disediakan menggunakan maklumat dalam sistem Padu dengan mengambil kira elemen perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW).

Rafizi berkata PAKW merujuk kepada amaun perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat.

PAKW juga boleh memperjelas mengenai kos sara hidup di kawasan berbeza antara negeri, menjadi indikator dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi, serta dalam penentuan gaji yang lebih adil di samping membantu individu dan keluarga merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan isi rumah, katanya.

Rafizi berkata penggunaan PAKW boleh membantu mengurangkan ralat keciciran dalam pengagihan bantuan dengan memastikan golongan yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan.

"Saya berharap melalui maklumat kewangan isi rumah yang lebih baik, kita boleh perluas kepada pelaksanaan-pelaksanaan lain termasuk subsidi haji yang boleh menggunakan data dan pengelasan yang lebih adil kepada rakyat," katanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS