Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bomba pantau lokasi tebing runtuh di Sungai Kelantan
Diterbitkan:  Dec 17, 2024 12:49 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan membuat rondaan secara berkala untuk memantau pergerakan tanah di tebing Sungai Kelantan berdekatan sebuah pangsapuri dan hotel di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu yang runtuh semalam.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Kelantan, Mohd Wildan Azhari, berkata pemantauan itu dilaksanakan sebagai langkah berwaspada sekiranya terdapat sebarang kemungkinan berlaku runtuhan lagi.

Katanya Balai Bomba Kota Bharu akan melakukan pemantauan di tersebut.

Selain itu, menurut Mohd Wildan, bomba juga telah memasang pita keselamatan sebagai amaran kepada orang awam agar tidak menghampiri kawasan berisiko itu.

“Bomba ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak berada berdekatan kawasan berkenaaan kerana khuatir masih terdapat pergerakan tanah sekali gus akan mengundang risiko kepada orang ramai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Tinjauan mendapati masih ada orang awam yang mengambil kesempatan meninjau lokasi runtuhan walaupun pihak berkuasa telah meletakkan pita keselamatan termasuk merakam video dan gambar serta membuat siaran langsung melalui aplikasi TikTok.

Sementara itu, pemilik D’ Ridel Cafe, Muhammad Adam Luqman Mazlan, 26, berkata kedai makan miliknya yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan tebing runtuh itu masih beroperasi seperti biasa memandangkan dia masih tidak menerima arahan penutupan premis.

“Sejak saya beroperasi lebih 10 tahun, kejadian runtuhan ini merupakan yang pertama berlaku berdekatan dengan premis makanan saya.

"Alhamdulillah, setakat ini kedai saya masih selamat untuk beroperasi.

“Bagaimanapun, saya berharap runtuhan tebing berkenaan akan mendapat penyelesaian daripada pihak berkuasa dan pihak bertanggungjawab dengan kadar segera kerana saya khuatir sekiranya berlaku kejadian yang lebih buruk nanti,” katanya.

Bernama semalam melaporkan satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter berlaku di tebing Sungai Kelantan kira-jam kira 1 tengah hari semalam.

Runtuhan itu menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS