Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Musa ketua menteri paling lama, luas pengalaman
Diterbitkan:  Dec 17, 2024 12:04 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Musa Aman yang menerima surat cara pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini merupakan Ketua Menteri Sabah yang paling lama berkhidmat untuk Negeri Di Bawah Bayu itu.

Ahli politik berpengalaman luas dan berusia 73 tahun itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-14 pada 27 Mac 2003 dan memegang jawatan berkenaan selama lima penggal, sehingga 12 Mei 2018.

Musa juga menjadi Adun Sungai Sibuga selama enam penggal (1994 hingga 2020) dan pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Menteri Kewangan Sabah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, dan Konsul Kehormat Malaysia di Bangladesh.

Menyingkap sejarah anak jati Beaufort yang dilahirkan pada 30 Mac 1951 itu, Musa bertanding dalam Pilihan Raya Raya (PRN) Sabah pada 1990 mewakili Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) di kerusi DUN Sugut di Sandakan, tetapi tewas.

Dia turut memainkan penting semasa Umno mengembangkan sayapnya di Sabah dan dilantik sebagai Bendahari Penaja Umno Sabah yang pertama, menjadi Ketua Umno Libaran sebelum dilantik sebagai Bendahari BN negeri itu pada 1992.

PRN Sabah 1994 merupakan detik bersejarah dalam karier politik Musa apabila dipilih mewakili BN buat kali pertama dan memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga dalam pertandingan empat penjuru.

Musa mempertahankan kerusi DUN itu selama enam penggal sehingga 2018.

Bekas Pengerusi Umno Sabah pada 2013 hingga 2018 itu tidak mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga pada PRN 2020.

Selain politik, Musa juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran luas dalam perniagaan serta pernah diberi kepercayaan antaranya sebagai Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), Pengarah Yayasan Sabah, Ketua Pegawai Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd dan Pengerusi Sabah Softwood Sdn Bhd.

Dia juga pernah memegang jawatan sebagai Procanselor Universiti Malaysia Sabah, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah, dan Presiden Dewan Perdagangan Bumiputera Sabah.

Musa mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan Mempagar, Limbawang, Beaufort; dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah St Paul Beaufort, sebelum berpindah ke Maktab Sabah dan menamatkan pengajian menengahnya di Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu.

Dia memperolehi Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada Edith Cowan University, Australia.

Musa menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada Sept 2017 sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dan Seri Panglima Darjah Kinabalu (Kelas Pertama) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima pada 2006.

Dia mendirikan rumahtangga dengan Faridah Tussin serta dikurniakan tiga cahaya mata lelaki dan seorang perempuan.

Musa menggantikan Juhar Mahirudin yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS