Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
5 ditahan untuk bantu siasatan kes gaduh awal pagi
Diterbitkan:  Dec 17, 2024 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Polis hari ini menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur dua hari lalu yang mengakibatkan tiga individu cedera dikelar pisau.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata dalam kejadian pada Ahad itu, polis menerima laporan pada jam 4.03 pagi mengenai pergaduhan yang dikatakan berpunca daripada salah faham.

Katanya pergaduhan itu melibatkan empat hingga lima lelaki sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan pisau lipat dan melibas mangsa.

“Akibatnya mangsa pertama mengalami luka dan kesan kelar di lengan kiri, mangsa kedua mengalami kecederaan kelar dari kening hingga bibir kiri, manakala mangsa ketiga luka di kanan kepala dan menerima 10 jahitan.

"Ketiga-tiga mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian itu polis menahan lima lelaki berumur 22 hingga 30 tahun antara 12.30 tengah malam tadi hingga 3 pagi ini di sekitar Puchong, Selangor bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sulizmie Affendy turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS