Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi jumpa Duta Besar China untuk erat hubungan
Diterbitkan:  Dec 17, 2024 10:16 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang bertemu dengan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing semalam, dalam usaha untuk “mengeratkan hubungan”.

Perkembangan itu hadir ketika pemimpin dalam parti Hadi dalam beberapa bulan kebelakangan ini sangat kritikal terhadap dakwaan China menjejaskan kedaulatan Malaysia dalam dua insiden kontroversi.

Dalam satu kenyataan semalam, presiden PAS itu berkata bahawa pertemuan di kedutaan China di Kuala Lumpur menyaksikan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha untuk "mengeratkan hubungan" antara kedua-dua negara, dalam budaya, ekonomi, dan hubungan antarabangsa.

"Saya amat menghargai kesungguhan Tuan Yang Terutama (TYT) dalam mencari jalan ke arah memperkukuhkan hubungan antara China dan Malaysia, serta ketelitian TYT dalam memahami budaya rumpun Melayu dan dunia Islam secara umumnya.

"Semoga pertemuan ini dapat membawa manfaat ke arah keharmonian dan kerjasama yang lebih erat dalam bidang budaya dan ekonomi antara Malaysia dan China, khususnya di empat buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis," katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah anak Hadi, Muhammad Khalil dan Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman.

Pertemuan itu tidak melibatkan pemimpin PAS yang mengkritik China baru-baru ini..

Pada Oktober, Ketua Pseuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mempertikai kehadiran bendera China yang dikibarkan oleh warga China pada perarakan festival kebudayaan Guan Gong di Teluk Intan, menyifatkan ia satu cabaran kepada kedaulatan Malaysia.

Pada perhimpunan balas di mana dia mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, Razman turut menyeru agar perpaduan Melayu menghantar "mesej" kepada "rakan" yang menyokong pihak yang mengibarkan bendera China.

Razman mendapat sokongan daripada timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap "provokator yang tidak patriotik".

Awal bulan yang sama, pemimpin dan jentera PAS juga antara yang mengecam Putrajaya atas lawatan tentera laut China di Pulau Pinang yang didakwa menerima sambutan yang terlalu meriah.

Ini termasuk kadet tentera laut China melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa Putrajaya menjelaskan sama ada lawatan sekolah itu melanggar protokol atau dasar negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS