Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Sabah: Penganalisis percaya GRS teruskan kerjasama dengan PH

Susulan penularan beberapa video mengenai dakwaan rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah, perhatian turut tertumpu kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan pada tahun hadapan.

PRN ke-17 itu perlu diadakan selewat-lewatnya pada 9 Dis 2025 bagi memilih seramai 73 Adun baru.

Walaupun memiliki tempoh kira-kira setahun lagi, parti-parti politik di negeri di bawah bayu itu dikatakan telah mula mencongak strategi, terutama dalam membentuk gabungan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata masih terlalu awal untuk meramalkan parti yang akan membentuk gabungan masing-masing.

Bagaimanapun dia percaya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Hajiji Nor bakal meneruskan kerjasama dengan PH.

"Gabungan parti politik dah mula mengadakan perbincangan. Siapa yang akan gabung dengan siapa, itu masih awal.

“Buat masa ini, yang kita boleh pasti, GRS akan berkerjasama dengan PH," katanya.

Pensyarah kanan Jabatan Komunikasi UMS, Lee Kuok Tiung turut berkongsi pendapat yang sama.

"Kebanyakan parti telah mula membuat penilaian untuk mengenal pasti gabungan yang sesuai menjelang PRN tahun depan.

"Yang pasti, GRS akan berkerjasama dengan PH," katanya ditanya pandangannya berhubung gabungan baru menjelang PRN Sabah.

Selepas PRU14 pada tahun 2018, landskap politik Sabah berubah apabila parti-parti politik tidak lagi bergantung kepada BN.

Pilihan Raya Negeri Sabah 2018 menyaksikan kebuntuan politik apabila tiada gabungan parti mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. BN dan Parti Warisan Sabah (Warisan) masing-masing memenangi 29 kerusi, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan 2 kerusi menjadi kingmaker.

Pada mulanya, Musa Aman dari BN dilantik sebagai Ketua Menteri. Namun, perubahan sokongan daripada UPKO dan STAR kepada Warisan membolehkan Mohd Shafie Apdal dilantik sebagai Ketua Menteri, menyebabkan peralihan kuasa kepada Warisan.

Pada 2020, krisis politik sekali lagi melanda Sabah apabila Musa mendakwa mendapat sokongan majoriti ADUN untuk merampas kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie. Bagi menghalang rampasan kuasa, Shafie membubarkan DUN pada 30 Julai 2020, dengan perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah ketika itu, Tun Juhar Mahiruddin.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan utama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang terdiri daripada PN, BN, dan Parti Bersatu Sabah (PBS), serta Warisan yang bekerjasama dengan PH dan UPKO.

Keputusan pilihan raya menyaksikan GRS memenangi 38 daripada 73 kerusi, manakala Warisan Plus memperoleh 32 kerusi. STAR, parti dalam GRS, menjadi pemegang kunci dengan kerusi tambahan yang dimenanginya.

Selepas kemenangan GRS, Hajiji Noor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah, menggantikan Mohd Shafie.

Namun pada 7 Januari 2023, krisis politik sekali lagi melanda apabila Hajiji kehilangan sokongan daripada 13 Adun Umno. Bagaimanapun, dia kekal sebagai ketua menteri apabila mengadakan kerjasama dengan PH.

Pada 29 Jan 2023, Hajiji mengumumkan mengetuai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang merupakan komponen utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas lanjut, Dr Romzi berkata, paling penting ketika ini adalah penubuhan kerajaan negeri selepas PRN.

"Kita biasa melihat di Sabah, tiada pemenang selepas PRN seperti kerajaan Madani sekarang. Selepas pemilihan parti politik akan cuba membuat gabungan baru untuk menubuhkan kerajaan negeri," katanya.

Mengenai video skandal rasuah yang didakwa membabitkan Adun GRS, Romzi berkata isu itu tidak akan memberi impak selagi tidak ada pertuduhan dilakukan.

"Pada ketika ini, masih dalam dakwaan. Ini tak akan ada kesan kerana belum ada bukti atau pertuduhan. Tapi kalau ada bukti itu, sudah pasti ada kesan pada PRN akan datang," katanya.

Pada 3 Disember, seorang pemberi maklumat yang sedang memohon kekebalan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, mendedahkan rakaman video penuh yang mengaitkan beberapa Adun.

Pemberi maklumat mendakwa video itu mendokumentasikan perbincangan mengenai pemulangan dakwaan rasuah yang diberikan kepada ahli politik untuk mendapatkan sokongan bagi permohonan lesen penerokaan perlombongan.

Sehari kemudian, Hajiji, yang menghadapi tekanan yang semakin kuat supaya berundur, menolak dakwaan rasuah itu dan menyifatkannya sebagai usaha untuk menggugat kerajaan negeri dan mencemarkan reputasinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS