Pada April lalu, Malaysiakini melaporkan projek ladang sawit yang dibangunkan berhampiran Taman Negara Pahang. Projek itu meliputi kawasan lebih 8,000 hektar, tetapi dipenuhi pelbagai masalah, termasuk pengurusan lemah dan kemusnahan hutan, yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Lawatan tapak oleh Malaysiakini mendapati pembangunan ladang tersebut tidak mematuhi cadangan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Kumpulan gajah yang meragut anak pokok sawit menyebabkan hasil tuaian berkurangan dengan ketara.
Langkah kebiasaan dalam situasi ini menghentikan projek ladang yang gagal dan merugikan itu. Bagaimanapun, aktiviti pembalakan PKNP bukan sahaja disokong oleh kerajaan negeri Pahang, malah turut dibiayai oleh Bank Islam.
Ini menimbulkan persoalan lebih besar: Bagaimana bank-bank tempatan terlibat dalam aktiviti pembersihan hutan?
Adakah pinjaman bank tidak dikawal selia oleh kerajaan dan Bank Negara?
Mengapa bank sanggup membiayai projek berisiko tinggi yang mungkin tidak memberi pulangan?
Enam kali suntikan dana dalam 9 tahun
Pemaju ladang sawit ini, PKNP Agro Tech Sdn Bhd (PASB), anak syarikat milik penuh PKNP.
Antara 2015 hingga 2023, Bank Islam mengeluarkan pinjaman berjumlah RM52.07 juta kepada PASB.
Pada Ogos 2015, PASB mencagar 1,930 hektar tanah di Ganchong, Pekan kepada Bank Islam untuk mendapatkan pinjaman RM17 juta. Menurut mereka, dana itu digunakan untuk membangunkan ladang sawit tersebut.
Lebih mengejutkan, Bank Islam memberikan enam pinjaman tambahan kepada PASB dalam tempoh sembilan tahun selepas itu, dengan setiap pinjaman melebihi RM3.58 juta.
Sebagai contoh, PASB mencagarkan 4,046 hektar ladang sawit di Hulu Tembeling kepada Bank Islam untuk mendapatkan pinjaman tambahan RM12.41 juta — suntikan dana terbesar setakat ini.
Oleh itu, pembersihan hutan berlaku seiring dengan kelulusan pinjaman Bank Islam kepada PASB.
Reputasi Bank Islam dipertaruh
Mengapa bank terus memberikan pinjaman yang semakin besar walaupun projek PASB dilihat gagal?
Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh seorang pakar kewangan yang enggan dinamakan. Adakah masalah kewangan dan operasi PASB tidak disedari semasa proses kelulusan pinjaman tambahan mereka?
“Daripada perspektif kewangan, syarikat ini kelihatan sangat lemah dalam perniagaan. Hasil tuaian ladang sawit mereka sangat rendah, manakala nisbah perbelanjaan kepada pendapatan pula sangat tinggi," katanya.
“Apabila bank meluluskan pinjaman baru kepada syarikat ini, mereka sepatutnya bertanya ke mana wang pinjaman sebelum ini telah digunakan.”
Dia menjelaskan syarikat-syarikat yang terlibat dalam ladang sawit dan pembalakan merupakan perniagaan berisiko tinggi dalam sektor kewangan, justeru ia memerlukan pemantauan yang lebih teliti.
Tindakan kerap memohon pinjaman tambahan itu “tanda amaran” yang sepatutnya disedari oleh bank menurut pakar kewangan tersebut.
Katanya bank mempunyai protokol berbeza untuk mengelakkan risiko, termasuk "penelitian wajar" asas terhadap pelanggan serta semakan wajar yang dipertingkatkan (enhanced due diligence) apabila melibatkan individu yang terdedah secara politik (PEPs).
“Ini keperluan paling asas dalam proses pembayaran semula pinjaman. Bagaimana jika pelanggan tidak mampu membayar balik pinjaman disebabkan aliran tunai yang tidak stabil?”
“Lupakan soal krisis iklim atau isu sosial buat seketika. Di sini, risiko pembayaran balik adalah realiti. Ini adalah risiko kredit kepada bank.”
Ke mana hilangnya wang itu?
Pemandangan di ladang sawit Hulu Tembeling sungguh menyedihkan: tiada pengurusan yang baik, tanah terbiar dan kawanan gajah merosakkan pokok sawit. Ladang itu tidak kelihatan seperti projek yang bernilai RM52 juta.
Sebelum ini Malaysiakini laporkan bahawa separuh dari ladang PKNP - kira-kira 4,046 hektar - sedang beroperasi dan dari situ ladang itu hanya mengeluarkan 29 tan tandan buah segar setahun, menurut satu laporan.
Ini hanya tujuh kilogram sehektar tanah setiap tahun. Sebagai perbandingan, purata hasil kelapa sawit di Semenanjung Malaysia pada tahun 2022 ialah 16.41 tan tandan buah segar (FFB) sehektar tanah.
Semakan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) mengesahkan bahawa pemilik ladang tidak melaksanakan cadangan EIA, termasuk membina parit, pagar, zon penampan untuk menjauhkan gajah. ini mengakibatkan pengeluaran tanaman yang rendah akibat pencerobohan gajah.
Seorang perunding alam sekitar berkata ini merupakan "ladang kelapa sawit yang paling teruk diuruskan di Malaysia". Ladang ini juga mengakibatkan konflik manusia dan gajah semakin serius, bekalan air masyarakat terjejas dan 227,395 tan karbon dioksida tidak dapat diserap kerana hutan dibalak.
Ke mana perginya wang itu? Mungkin rekod kewangan PASB boleh memberi petunjuk.
Menurut laporan kewangan syarikat itu, PASB menanggung jumlah pinjaman sebanyak RM29.15 juta: RM17 juta daripada Bank Islam pada 2015 dan RM12.15 juta yang dipinjam oleh syarikat induknya, PKNP.
Laporan kewangan menunjukkan RM25.25 juta diperuntukkan untuk "pembangunan ladang". Bagaimanapun, butiran perbelanjaan tersebut tidak jelas dan tidak menunjukkan ke mana wang itu disalurkan.
Pada tahun berikutnya, kos "pembangunan ladang" dikategorikan semula sebagai "aset biologi", yang merujuk kepada perbelanjaan penyelenggaraan pokok sawit belum matang. Apabila pokok matang dan mula mengeluarkan hasil, kos tersebut akan dikategorikan semula sebagai aset syarikat.
Namun, dengan kebanyakan anak pokok sawit telah dimusnahkan oleh gajah, semua dana Bank Islam seolah-olah "lebur" begitu sahaja. Walaupun pokok sawit tidak mengeluarkan hasil, PASB kini menanggung hutang lebih RM36.16 juta.
Risiko pengubahan wang haram apabila GLC tubuhkan syarikat swasta
Pushpan Murugiah, ketua pegawai eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4), memberitahu Malaysiakini bahawa PASB melibatkan individu berprofil politik, contohnya bekas Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob (gambar bawah) yang menjadi pengerusi syarikat tersebut, manakala syarikat induknya adalah sebuah GLC.
“Pendapatan dan perbelanjaan yang tidak seimbang, ditambah pula dengan pinjaman besar yang dibelanjakan ke atas aset yang hampir tidak produktif, menimbulkan keperluan untuk perhatian pihak berkaitan.”
Pushpan menegaskan bahawa Bank Negara perlu dimaklumkan untuk menilai potensi risiko pengubahan wang haram dan salah urus kewangan di sebalik projek perladangan ini.
“Harus ada siasatan lanjut oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memandangkan ini melibatkan tanggungan kewangan sebuah GLC. Ketelusan yang lebih tinggi diperlukan bagi memastikan wang yang diperoleh melalui pinjaman bank oleh anak syarikat tidak disalahgunakan.”
“Jika terdapat elemen rasuah yang ditemui, SPRM mesti bertindak untuk menjalankan siasatan.”
Pushpan (gambar bawah) memberi amaran bahawa GLC akan meminjam wang dari bank melalui syarikat persendirian yang dimiliki oleh mereka, yang syarikat-syarikat persendirian ini mendapat kurang penelitian awam berbanding syarikat induk GLC mereka.
Hutang pinjaman tersebut tidak direkodkan bawah GLC, tetapi kadangkala dimasukkan ke dalam kategori “liabiliti bersyarat”, iaitu liabiliti yang mungkin berlaku bergantung kepada hasil sesuatu peristiwa yang tidak pasti pada masa hadapan.
“Ini kerana, sekiranya pinjaman tidak dibayar, liabiliti tersebut akan dipindahkan kepada GLC dan akhirnya kepada kerajaan.”
“Terdapat juga kebimbangan mengenai siapa pemilik benefisial sebenar bagi anak syarikat GLC tersebut. GLC, yang sering diketuai oleh individu berpengaruh politik, boleh menggunakan anak syarikat untuk keuntungan peribadi atau politik.”
Kerahsiaan syarikat persendirian menjadikannya lebih mudah untuk mengelak daripada penelitian awam, sekali gus mewujudkan persekitaran yang cenderung kepada amalan rasuah, katanya.
Untuk memperbaiki keadaan ini, Pushpan mencadangkan agar operasi GLC dan anak syarikat mereka menjadi lebih telus dan terbuka, termasuk proses pelantikan bagi sebarang jawatan dalam GLC. Beliau turut menegaskan bahawa ahli politik harus dilarang daripada dilantik ke jawatan dalam GLC.
Bank Negara perlu dimaklumkan
Pada 2022, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan dokumen dasar mengenai Pengurusan Risiko Iklim, yang akan berkuat kuasa pada 31 Disember 2024. Dasar ini menggariskan prinsip dan keperluan khusus untuk pengurusan risiko berkaitan iklim oleh institusi kewangan.
Pemantau alam sekitar Rimbawatch berkata, walaupun Bank Negara telah mengeluarkan polisi dan garis panduan untuk institusi kewangan bagi mencegah pembiayaan aktiviti yang merosakkan alam sekitar, tetapi langkah-langkah ini memerlukan banyak penambahbaikan dengan pengawasan dan penguatkuasaan yang lebih ketat.
Memandangkan rekod kewangan PASB yang lemah dan risiko kredit yang dibawanya, Rimbawatch memberitahu Malaysiakini bahawa Bank Negara Malaysia perlu dimaklumkan mengenai perkara ini.
“Fakta bahawa Bank Islam terus meluluskan pinjaman ini selama bertahun-tahun menimbulkan persoalan terhadap prosedur penelitian wajar mereka.
"Penglibatan individu berpengaruh politik dalam skim yang gagal ini juga wajar disiasat dengan lebih lanjut oleh pihak bank,” kata Rimbawatch.
"Dalam kes sebegini, bank masih terlepas daripada mematuhi piawaian penelitian wajar yang lemah. Memandangkan sistem EIA di Malaysia mempunyai banyak kelompongan, bank perlu melaksanakan semakan tambahan untuk mengelakkan pembiayaan kepada syarikat berisiko tinggi."
Dia memberikan contoh syarikat sepatutnya dikehendaki mengemukakan data geospatial projek mereka, yang perlu dianalisis oleh bank berbanding set data litupan hutan bebas bagi menentukan risiko penebangan hutan, serta pelan pengezonan alam sekitar lain untuk memastikan projek itu tidak melanggar sebarang keperluan pengezonan persekutuan.
Sahabat Alam Malaysia (SAM), bersama beberapa organisasi antarabangsa dalam Gabungan Hutan dan Kewangan (Forests and Finance Coalition), mewujudkan satu platform yang menyatukan data kewangan, termasuk data pinjaman bank, bagi menyokong kempen antipembiayaan kewangan kepada projek yang merosakkan alam sekitar.
Pada pertengahan Oktober 2024, SAM mengeluarkan kenyataan yang mendedahkan bank-bank Malaysia sebagai penyumbang kewangan ketujuh terbesar dunia kepada projek pemusnahan hutan.
Antara 2016 hingga Jun 2024, bank-bank ini telah menyediakan pinjaman dan jaminan bernilai AS$16.4 bilion (RM76.98 bilion) kepada syarikat-syarikat terlibat.
SAM turut menggesa Bank Negara Malaysia supaya menetapkan standard yang lebih konsisten dan ketat, prosedur penelitian wajar yang bebas, serta memaksa institusi kewangan mematuhi keperluan ini. Bank perlu memberi perhatian kepada punca kemerosotan kepelbagaian bio dan pelanggaran hak masyarakat Orang Asli.
Pembiayaan kepada projek ladang sawit telah menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki. Bagaimana Bank Islam boleh mengurangkan kesan ini? Siapa yang bertanggungjawab mewujudkan mekanisme pampasan?
SAM percaya Bank Negara mesti memastikan institusi kewangan bertanggungjawab terhadap kemusnahan yang disebabkan oleh pembiayaan mereka. SAM mencadangkan agar Bank Negara menetapkan mekanisme yang mewajibkan pihak pengurusan kanan bertanggungjawab, menetapkan penalti yang lebih besar daripada keuntungan yang diperoleh, serta mewujudkan mekanisme pampasan kepada komuniti dan alam sekitar yang terjejas.
Bank Islam boleh rampas cagaran
Sebagai maklum balas terhadap pertanyaan Malaysiakini, Bank Islam berkata pihaknya menjalankan penilaian menyeluruh terhadap risiko alam sekitar dan sosial sebelum meluluskan sebarang pembiayaan, melaksanakan proses semakan wajar yang teliti serta melakukan penilaian berkala bagi memastikan keupayaan kredit pelanggan sentiasa terjamin.
Apabila ditanya tentang sebab meluluskan pinjaman tambahan kepada syarikat yang mengalami kerugian kewangan dan pengurusan lemah, Bank Islam menyatakan bahawa mereka tidak dapat mengulas mengenai hubungan pelanggan atau sebarang butiran perbankan.
Namun, mereka berjanji untuk “terus teguh dalam menegakkan kerahsiaan dan kewajipan undang-undang.”
Begitu juga, Bank Negara tidak memberikan komen terhadap pertanyaan berkaitan Bank Islam, tetapi badan berkanun itu menyediakan gambaran menyeluruh mengenai kawalan dasar mereka untuk pengurusan risiko kredit dan iklim.
Sebagai contoh, Bank Negara mewajibkan institusi kewangan menjalankan penilaian risiko yang komprehensif untuk memahami keupayaan pelanggan membayar balik pinjaman, termasuk menilai tahap kelayakan kredit dan kekuatan kewangan pelanggan.
Selain itu, institusi kewangan dikehendaki sentiasa memantau risiko kredit melalui pengesanan pembayaran balik dan semakan berkala (termasuk penilaian kewangan serta lawatan tapak).
Bank Negara menekankan bahawa institusi kewangan mempunyai hak untuk melaksanakan langkah mitigasi risiko kredit, termasuk penyitaan cagaran yang digadaikan bagi pembiayaan, untuk menguruskan kerugian bank.
Sebelum ini, PASB telah mencagarkan dua tanah bagi permohonan pinjaman mereka, dengan jumlah keluasan 5976 hektar. Ini bermakna, jika PASB gagal membayar balik hutang, Bank Islam boleh merampas tanah-tanah tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi PASB, Adnan Yaakob serta Menteri Besar Pahang Wan Rosdy untuk mendapatkan maklum balas.
Laporan ini dihasilkan dengan kerjasama Jaringan Penyiasatan Hutan Hujan (Rainforest Investigations Network), Pulitzer Center. Terjemahan ke dalam bahasa Melayu oleh Rahmat Haron.