Badan bukan kerajaan (NGO) melihat kenyataan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dalam menangani dakwaan skandal rasuah di negeri itu sebagai menunjukkan betapa akta pendanaan politik perlu segera digubal.
Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz berpendapat perkara itu penting untuk meminimumkan pergantungan parti dan ahli politik kepada penyumbang korporat, yang mungkin mahu mempengaruhi dasar kerajaan atau mendapat akses terhadap kontrak kerajaan secara tidak adil.
"Apabila parti diberi dana sewajarnya berasaskan peratus undi yang diraih, ia akan menjawab persoalan asas iaitu keperluan parti politik untuk mendapatkan dana bagi membayar gaji kakitangan, kos operasi pejabat dan lain-lain.
"Setelah persoalan tersebut terjawab, maka parti politik harus mematuhi peraturan kewangan dalam akta pendanaan politik tersebut agar berlaku ketelusan dan unsur rasuah dan salah guna kuasa dapat dielakkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Muhammad Faisal berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan Hajiji bahawa klip video yang bocor itu mungkin merujuk kepada derma politik.
Dalam klip video di TikTok, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menegaskan bahawa Adun pentadbirannya tidak pernah meminta rasuah.
"Tetapi bohonglah kalau setiap parti politik atau pemimpin politik tidak menerima dana politik daripada penyumbang-penyumbang…Semua tahu dana politik adalah tidak salah di dalam negara kita dan juga di negara-negara lain pun,” katanya.
Dia juga menegaskan betapa gaji Adun tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka.
Muhammad Faisal berkata lagi, akta pendanaan politik juga akan membuka ruang kepada parti untuk mendapatkan dana awam.
Dengan adanya akta itu, setiap sumbangan yang diterima harus dilakukan secara telus dan mengikut peraturan, katanya.
"Tanpa peraturan yang jelas, mana-mana parti politik akan terdedah dengan kesalahan rasuah hanya atas alasan sebegini.
"Hakikatnya, akta pendanaan politik sudah lama dibincangkan menerusi platform Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) mengenai Reformasi Kewangan Politik dan beberapa kali tertangguh untuk dibawa ke Dewan Rakyat.
"Kini tiba masanya untuk negara melangkah setapak lagi dalam mereformasi sistem politik negara," katanya lagi.
Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata pihaknya memandang serius kenyataan Hajiji.
"Walaupun dana politik bukanlah kesalahan di sisi undang-undang, isu ini sering dikaitkan dengan risiko penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan dan korupsi jika tidak diurus dengan telus dan bertanggungjawab.
"MCW menegaskan penerimaan dana politik perlu diiringi dengan sistem pelaporan yang telus dan akauntabiliti yang tinggi. Setiap sumbangan perlu direkodkan, diumumkan kepada umum, dan diaudit secara bebas.
"Cadangan mewujudkan undang-undang khusus bagi mengawal dana politik wajar disegerakan untuk mengelakkan persepsi negatif terhadap integriti pemimpin dan parti politik,” katanya.
Justeru, dia menggesa kerajaan untuk segera menggubal undang-undang tersebut bagi mewajibkan setiap sumbangan yang diterima parti politik dilapor dan diudit.
Dia juga berkata SPRM perlu diberi kuasa tambahan untuk mengawal selia dana yang diterima bagi mengelakkan amalan rasuah mahupun penyalahgunaan dana.
Pada masa sama, Jais menggesa SPRM menyiasat dakwaan Hajiji yang dia menerima makluman berkenaan kenyataan yang diberikan pemberi maklumat skandal tersebut kepada suruhanjaya itu.
"Itu dakwaan serius. SPRM perlu buat siasata untuk memastikan kerahsiaan siasatan tidak terjejas, sekali gus mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap proses penguatkuasaan undang-undang," katanya lagi.