Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: Warisan lapor polis 'maklumat sulit' bocor
Diterbitkan:  Dec 16, 2024 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Ketua Pemuda Warisan membuat laporan polis berhubung ucapan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor baru-baru ini, yang mendakwa tahu mengenai kenyataan yang diberikan seorang pemberi maklumat kepada SPRM berhubung dakwaan rasuah membabitkan Adun di Sabah.

Ini selepas Hajiji dalam klip video TikTok yang tersebar berkata dia "dimaklumkan" bahawa pemberi maklumat tidak mengaku terlibat dalam perbuatan rasuah apabila SPRM menyoal ahli perniagaan itu.

"Siapakah yang membocorkan maklumat kepada Ketua Menteri bahawa pemberi maklumat tersebut tidak mengaku terlibat dalam perbuatan rasuah semasa siasatan berlangsung?

"Jika perkara ini benar, ia jelas mencerminkan penyalahgunaan kuasa yang serius, terutamanya apabila siasatan itu melibatkan pentadbiran yang berada di bawah kepimpinannya sendiri," kata ketua pemuda Warisan, Terence Au selepas membuat laporan di balai polis Karamunsing hari ini.

Dalam video TikTok yang tular, Hajiji mendakwa dia "dimaklumkan" pemberi maklumat itu "tidak mengaku dia buat itu" ketika disoal SPRM.

@studio_rakyat Individu yang terlibat dalam penularan video berkaitan tuduhan rasuah baru-baru ini enggan mengaku. Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor menyatakan bahawa semua itu hanyalah strategi yang sudah dirancang dengan teliti untuk menjatuhkan maruah kerajaan kini. #studiorakyat #ketuamenterisabah #yabdatukseripanglimahjhajijihajinoor #grs #pgrs #fyp #malaysia #sabah #politik ♬ Hard News - DM Production

Hajiji juga mendakwa mereka yang membuat fitnah terhadap pentadbirannya membuat perancangan dengan begitu teliti dengan niat untuk merosakkan kerajaan negeri.

Semalam, peguam kepada pemberi maklumat berkenaan, Muhammad Shafee Abdullah menegaskan kenyataan anak guamnya kepada SPRM dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Siapakah yang memaklumkan kepada ketua menteri itu bahawa anak guam saya tidak mengaku memberi rasuah apabila disoal SPRM, lebih-lebih lagi apabila maklumat ini dianggap sebagai rahsia rasmi?

“Untuk penjelasan, anak guam saya tidak menafikan mahupun mengaku apa-apa. Dia menjawab secara neutral, mengikut nasihat saya untuk mengelakkan daripada menjerat diri sendiri,” kata Muhammad Shafee kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, Au berkata situasi itu meresahkan penduduk Sabah, yang mendorongnya membuat laporan polis.

"Oleh itu, saya mendesak agar pihak polis segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas demi memastikan keadilan ditegakkan dan integriti proses siasatan tidak tercemar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Kasim Muda mengesahkan menerima laporan itu dan mengatakan kes itu telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS