Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenderaan elektrik (EV) pertama negara, Proton e.MAS 7 akan menjadi kenderaan rasmi bagi Malaysia selaku pengerusi Asean 2025.
Anwar mengumumkan perkara itu ketika melancarkan kenderaan tersebut di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur, hari ini.
“Untuk Asean tahun depan, e.MAS7 akan jadi kenderaan rasmi kita. Kita mahu dan harapkan ia dapat mempromosi kemampuan kita menghasilkan kereta elektrik bermutu.
“Setinggi kesyukuran kerana kita catat sejarah gemilang bukan sahaja angkat martabat Proton dan Geely, tapi (juga) imej keupayaan negara terutama rakyat Malaysia dalam menghasilkan kejayaan ini,” katanya.
Antara yang turut hadir di majlis pelancaran hari ini ialah Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Pengerusi Proton Syed Faisal Albar; CEO Proton Li Chunrong dan CEO Kumpulan Geely Auto Jerry Gan.
Proton e.MAS 7 membuat penampilan sulung di perarakan Hari Kebangsaan 2024 pada Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Anwar menyorot kembali pasang surut yang ditempuhi Proton sejak penubuhannya, dengan menyifatkan kejayaan hari ini hasil daripada apa yang dipelajari pada masa lalu.
“Seperti mana saya pernah katakan dulu, Proton ada sejarah gemilang. Ia diasaskan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, ada pasang surut yang mencabar.
“Namun pengajaran kita peroleh ialah kita harus akui kerajaan bertanggungjawab untuk beri bantuan dan kerjasama, tidak masuk campur dan bebaskan mereka (untuk melakukan) penyelidikan, latihan dan (memperbaiki) tatakelola ke tahap lebih baik,” katanya lagi.
Anwar juga berkata Malaysia berhasrat untuk menjadi contoh di rantau Asia Tenggara dalam penghasilan EV.
“Ini adalah lanjutan langsung dan jelas komitmen kami kepada pelepasan karbon sifar bersih negara, memastikan EV boleh dipercayai untuk orang ramai.
“Dasar Automotif Nasional 2020 seharusnya menjadi rujukan kepada Proton apabila mengeluarkan model ini secara tempatan,” katanya lagi.