Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terengganu dijangka dilanda banjir gelombang ketiga esok

Terengganu dijangka dilanda banjir gelombang ketiga esok berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat berterusan yang diramal sehingga Khamis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Hanafiah Mat berkata susulan itu, 44 kampung di empat daerah iaitu Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu dijangka berisiko dinaiki bah.

Beliau berkata di Besut lokasi berisiko ialah Kampung Pok Sik, Kampung Belaoh, Felcra Keruak, Kampung La, Chegar Batang, Pasir Akar, Jerubun, Bukit Payung dan Batu 13.

"Di daerah Kemaman, kawasan berisiko terjejas ialah Padang Kubu, Pelantoh, Kampung Tebak, Batu 16 Tebak dan Kampung Sungai Mas.

"Sementara itu, di Setiu pula kampung terlibat ialah Kampung Langkap, Kampung Chalok Kedai, Batu 29, Gong Terap, Lubuk Panjang dan Felda Kampung Rahmat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanafiah berkata di daerah Hulu Terengganu pula kampung berisiko termasuk Kampung Sekayu, Kampung Pelandan, Kampung Cheting, Kampung Menjing, Kampung Durian Bador, Kampung Padang Setar, Kampung Pengkalan Ajal, Kampung Paya Besar, Kampung Menerong, Kampung Kua, Kampung Peneh, Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Kampung Lenjang dan Kampung Betong.

Selain itu, kawasan lain di Hulu Terengganu yang dijangka terlibat ialah Kampung Paloh Nyior, Kampung Bukit Tadok, Kampung Matang, Kampung Kepah, Kampung Pasir Dula, Kampung Tengkawang, Kampung Kuala Ping, Kampung Tok Lawit, Kampung Nibong dan Kampung Kuala Telemong.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di kawasan tersebut supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS