Pembantu penyelidik, Intan Zaahirah yang membuat laporan polis susulan kejadian seorang anggota polis menunjukkan isyarat lucah kepadanya meminta lebih ramai mangsa tampil.
Intan berkata, ini kerana sekurang-kurangnya lima individu menghubunginya di media sosial dan mengadu mengalami gangguan serupa daripada anggota polis tersebut.
“Saya lebih geram terhadap apa yang berlaku kepada mangsa lain yang telah menghubungi saya.
“Daripada pegawai polis ini, terdapat sekurang-kurangnya lima mangsa.
“Untuk kes saya, saya dimaklumkan oleh peguam saya, jika saya merupakan orang pertama yang melaporkan kesnya, pegawai polis tersebut hanya akan mendapat hukuman minimum," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Intan bersama peguam membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi dan memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju.
Dalam laporannya, Intan berkata anggota polis terbabit menunjukkan isyarat seks oral kepadanya pada 13 Dis lalu ketika dia sedang merakam gambar protes Turun demi Palestin di Kuala Lumpur.
Justeru Intan meminta mangsa lain membuat laporan polis serupa agar hukuman lebih berat boleh dikenakan kepada anggota terbabit.
“Jika lebih ramai orang datang dan membuat laporan polis tentang gangguan ini, maka ia akan menjadikan kes ini lebih kuat.
“Kita juga boleh memastikan anggota polis tersebut mendapat hukuman lebih berat, malah hukuman yang paling berat," katanya yang berang dengan perbuatan anggota polis itu yang sepatutnya melindungi orang ramai.
Dalam pada itu, Intan berkata ramai daripada mangsa mungkin teragak-agak untuk datang ke balai polis dan membuat laporan.
“Nasihat saya, dapatkan sistem sokongan yang kuat untuk membantu anda tampil ke hadapan dan pergi ke balai polis untuk membuat laporan.
“Sebaik-baiknya sila bawa seorang peguam bersama anda yang dapat membantu anda untuk memfailkan laporan polis kerana sukar untuk melakukan ini sendirian,” katanya.
Sementara itu, peguam Intan, Muhammad Asyraf Azni menyifatkan insiden itu sangat memalukan apabila anggota polis yang sepatutnya melindungi masyarakat, bertindak sebaliknya.
“Saya rasa sangat memalukan untuk seluruh rakyat Malaysia, di mana pihak polis sepatutnya bertugas melindungi rakyat dan melindungi masyarakat secara umum daripada kesalahan jenayah.
“Kami berharap ramai lagi di luar sana yang pernah menjadi menjadi mangsa, sila buat laporan. Insya-Allah kita akan sama-sama cuba untuk tamatkan semua ini untuk selamanya," katanya kepada Malaysiakini.