Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berpandangan bantahan yang disuarakan Umno berhubung kemungkinan penyertaan Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR sebagai hanya “drama bersiri”.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Fadhli mendakwa perkara itu sudah dibincangkan secara belakang tabir dan maka rakyat tidak perlu terpedaya dengannya.
“Umno pun tahu PKR ialah parti yang diketuai Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sendiri.
“Jadi nak lawan pun tak boleh sangat, nanti menjejaskan hubungan antara cikgu dan murid,” katanya lagi.
Dia dipercayai merujuk rakaman yang didakwa perbualan telefon antara Anwar dan Ahmad Zahid Hamidi pada 2021, di mana presiden Umno itu didakwa menyifatkan Anwar sebagai gurunya.
Sebelum ini spekulasi tersebar yang Zafrul akan menyertai PKR, dengan satu portal mendakwa rancangan sedang dibuat untuk menteri itu bertanding dalam pilihan raya kecil supaya dia boleh mengambil alih jawatan menteri besar Selangor.
Dua hari lalu, Tengku Zafrul mengakui ada berbincang dengan PKR namun belum membuat sebarang keputusan.
Dia juga berkata perbincangan tersebut tidak melibatkan soal pilihan raya kecil mahupun jawatan di peringkat negeri.
Sehari kemudian, iaitu semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno tidak akan "menerima dan membenarkan" lompat parti bagi mana-mana anggota kerajaan campuran.
"Cukuplah pengalaman pahit lampau dalam permuafakatan politik lalu hingga meruntuhkan Kerajaan akibat perlakuan khianat dan lompat-melompat serta mencuri ahli sesama kalangan parti dalam permuafakatan,” katanya merujuk Langkah Sheraton pada awal 2020.
Dalam hantaran hari ini, Fadhli turut membangkitkan kembali penyertaan wakil rakyat Amanah - parti komponen dalam PH - ke dalam PKR sebelum ini.
Dia merujuk penyertaan tiga Adun Amanah di Johor ke dalam PKR pada Februari 2021, iaitu Khairuddin A Rahim (Senggarang); Faizul Amri Adnan (Serom); dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).
Pada 2020 pula, kata Fadhli, dua Adun Amanah dari Selangor, iaitu Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) turut mengambil langkah sama.
“Marah parti itu (Amanah( hingga ada yang mencadangkan kaji semula hubungan dengan PKR.
“Itu ketika jadi pembangkang sudah ada rekod ambil ahli kawan. Sekarang dah jadi kerajaan, tentu lebih tinggi nilainya,” katanya lagi.