Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS sangkal dakwaan komplot: 'Najib dah tarik balik minta bukti'
Diterbitkan:  Dec 16, 2024 5:07 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Amerika Syarikat (AS) menyangkal dakwaan Najib Razak bahawa negara itu menghalang usahanya untuk mendapatkan bukti berkaitan 1MDB pada 2021.

Najib dalam keterangannya semasa perbicaraan 1MDB minggu lalu menuduh kerajaan AS, yang ketika itu di bawah kepimpinan parti Demokrat, menghalang bukti yang didakwa boleh membantu membebaskannya.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Kedutaan AS di Kuala Lumpur berkata mahkamah persekutuan AS bebas daripada pengaruh politik, dan menegaskan bahawa Jabatan Kehakimannya (DOJ) telah menjalankan siasatan "menyeluruh" berhubung skandal 1MDB.

"Mahkamah persekutuan AS adalah bebas daripada cabang politik menurut undang-undang, dasar dan tradisi AS.

“DOJ telah menjalankan siasatan menyeluruh mengenai penyelewengan dana 1MDB dan skim rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan.

"Dana 1MDB telah dicuci di seluruh dunia, termasuk antaranya melalui institusi kewangan utama di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, dan Luxembourg," kata kedutaan itu.

Kenyataan itu adalah sebagai respons kepada permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan komen kerajaan AS terhadap dakwaan dibuat Najib semasa perbicaraan kes 1MDB yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bekas perdana menteri itu diperintah membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berhubung RM2.28 bilion dana daripada dana kekayaan negara yang bermasalah itu.

Minggu lalu, Najib mendakwa AS di bawah kepimpinan Biden mempunyai motif politik untuk menghalangnya daripada mendapatkan bukti berkaitan 1MDB.

Dia mendakwa Loretta Lynch, yang merupakan peguam negara AS dari 2015-2017, menghalang permohonannya di mahkamah negara itu untuk mendapatkan keterangan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner yang disabitkan kesalahan.

Selain itu, Najib juga mendakwa kerajaan AS di bawah parti Demokrat bekerjasama dengan pembangkang Malaysia ketika itu untuk melakukan perubahan kerajaan ketika dia menjadi perdana menteri.

Ringkasan dan sebahagian daripada kandungan keterangan Najib dibacakan oleh peguam belanya, Muhammad Shafee Abdullah semasa sidang media yang diadakan di luar mahkamah minggu lepas.

Peguam itu memberitahu pemberita pada 9 Dis bahawa bukti yang diminta Najib daripada mahkamah New York adalah penting untuk pembelaannya, terutamanya keterangan daripada bank pelaburan, Goldman Sachs dan bekas kakitangannya Tim Leissner.

Menurut Shafee, Leissner mengaku di mahkamah AS bahawa dia telah memberi rasuah kepada beberapa pegawai 1MDB dan kerajaan Malaysia dan adalah penting bagi pembelaan Najib untuk mengetahui siapa mereka.

"Jika anda (Leissner) merasuah saksi-saksi ini (dalam perbicaraan 1MDB), pemeriksaan balas saya akan menjadi sangat kuat.

“Saya boleh menunjukkan bahawa anda (saksi-saksi itu) tiada kredibiliti. Malah, saya boleh mempersoalkan integriti mereka. Itulah betapa pentingnya perkara ini.

“Permohonan itu telah diluluskan, tetapi... secara tiba-tiba, DOJ campur tangan dalam prosiding 1782, meminta penangguhan untuk menghalang Goldman Sachs dan Tim Leissner daripada mematuhi sepina dan mendedahkan maklumat yang diminta oleh Datuk Seri Najib.

“Ini adalah tindakan DOJ untuk menghentikannya,” kata Shafee.

Kedutaan itu menegaskan bahawa Najib telah menarik balik permintaannya untuk mendapatkan bukti daripada AS pada 21 April 2022.

Kedutaan itu juga menegaskan komitmen negara tersebut untuk membantu Malaysia mendapatkan kembali dana yang dicuri daripada negara itu.

“AS telah bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk menyiasat dan mendakwa kes ini, serta membantu memulangkan dana 1MDB yang disalahgunakan kepada rakyat Malaysia.

“AS telah memulangkan atau membantu memulangkan hampir USD1.5 bilion (RM6.5 bilion) dalam aset yang berkaitan dengan skim antarabangsa ini kepada Malaysia.

“Kami kekal komited untuk membawa lebih banyak wang yang dicuri kembali kepada rakyat Malaysia dan memerangi rasuah,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS