Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebatan takzir untuk tunjuk beza sivil, syariah - Khalil
Diterbitkan:  Dec 16, 2024 3:45 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Kerajaan Terengganu mengesahkan hukuman sebatan di luar penjara terhadap pesalah khalwat berulang akan dijalankan pada 27 Dis ini selepas digantung susulan terdapat permohonan semakan keputusan mahkamah.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi, menegaskan hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.

Menurutnya, rentetan penggantungan hukuman sebatan di luar penjara terhadap pesalah khalwat pada 3 Dis lalu, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu telah bersidang pada 11 Dis dan sebulat suara mengekalkan hukuman terhadap Mohd Affendi Awang, 42.

"Pelaksanaan hukuman sebatan takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.

"Kerajaan negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan hukuman sebatan itu akan dilaksanakan di lokasi yang ditetapkan sebelum ini, iaitu Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Ladang, Kuala Terengganu.

Sumber turut memaklumkan hukuman akan dijalankan selepas solat Jumaat dengan kehadiran 70 orang khalayak yang dipilih.

Pada 20 Nov lalu, seorang duda muncul sebagai pesalah pertama yang akan dihukum sebat secara terbuka atas kesalahan jenayah syariah di Terengganu.

Hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohd Affendi yang mengaku salah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Dia turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tukang rumah itu pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.

Bapa kepada lima anak itu sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jan lalu dan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000.

Muhammad Khalil berkata, maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS